Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • GLOBAL
  • Bekas Perdana Menteri Thailand Thaksin Shinawatra dibebaskan dari penjara
  • GLOBAL

Bekas Perdana Menteri Thailand Thaksin Shinawatra dibebaskan dari penjara

Utusan Sarawak 6 hours ago
BEKAS perdana menteri Thailand, Thaksin Shinawatra (kanan), disambut anggota keluarga dan saudara-mara sejurus dibebaskan dari Penjara Pusat Klong Prem Central Prison di Bangkok pada 11 Mei 2026. Foto AFP

BANGKOK: Bekas perdana menteri Thailand, Thaksin Shinawatra, dibebaskan lebih awal dari penjara hari ini, sekali gus mencetuskan kemungkinan tokoh politik berpengaruh itu kembali menjadi tumpuan.

Bilionair telekomunikasi berusia 76 tahun itu menjalani hukuman penjara selama setahun atas kesalahan rasuah sejak September lalu dan dikehendaki memakai alat pemantauan elektronik sepanjang tempoh parol selama empat bulan.

Thaksin dilaporkan memeluk anggota keluarganya di luar penjara di Bangkok ketika ratusan penyokong yang mengenakan baju merah berkumpul, dengan sebahagian daripada mereka melaungkan “kami sayang Thaksin”, menurut wartawan AFP di lokasi.

“Saya tidak fikir beliau akan meninggalkan politik,” kata Janthana Chaidej, 70, yang mengambil cuti daripada tugasnya sebagai tukang masak restoran untuk menyatakan sokongan.

BEKAS Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra (kanan), memeluk anak perempuannya, Paetongtarn Shinawatra, sejurus selepas beliau dibebaskan di Penjara Pusat Klong Prem di Bangkok pada 11 Mei 2026. Foto AFP

“Beliau mungkin berehat selama beberapa bulan, tetapi tidak akan meninggalkan politik,” katanya.

Thaksin, yang tersenyum dan melambai kepada penyokong berbaju merah, tidak bercakap kepada wartawan sebelum beredar menaiki kenderaan.

Selama dua dekad, jentera politiknya menjadi pencabar utama kepada kelompok elit Thailand yang pro-tentera dan pro-diraja, yang melihat pendekatan populisnya sebagai ancaman terhadap susunan sosial tradisional negara itu.

Parti Pheu Thai dan versi terdahulunya merupakan antara parti politik paling berjaya di Thailand pada abad ke-21, dengan keluarga Shinawatra melahirkan empat perdana menteri serta mendapat sokongan meluas daripada penduduk luar bandar.

THAKSIN Shinawatra (tengah), menyapa para penyokongnya ketika beliau disambut oleh ahli keluarga dan saudara-mara sejurus selepas dibebaskan di Penjara Pusat Klong Prem di Bangkok pada 11 Mei 2026. Foto AFP

Namun, Pheu Thai mencatat keputusan pilihan raya paling buruk dalam sejarahnya pada Februari lalu apabila jatuh ke tempat ketiga, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai masa depan legasi politik keluarga itu.

Penyertaan Pheu Thai dalam kerajaan campuran pimpinan Perdana Menteri konservatif Anutin Charnvirakul bagaimanapun membuka ruang kepada kemungkinan kebangkitan semula politik Thaksin.

Pensyarah sains politik, Wanwichit Boonprong, berkata pembebasan Thaksin dijangka mengukuhkan Pheu Thai dalam jangka pendek kerana penyokong melihat pemimpin utama parti itu kembali aktif.

Namun, katanya, kelompok konservatif yang menentang Thaksin dijangka terus memberi sokongan kepada Anutin, yang menurutnya memiliki kepercayaan golongan elit, sesuatu yang tidak dimiliki Thaksin.

Dibebaskan secara parol

Jabatan penjara Thailand mengumumkan pembebasan Thaksin secara parol bulan lalu dengan mengambil kira faktor usia serta baki hukuman yang kurang daripada setahun.

Thaksin dipenjarakan selepas Mahkamah Agung memutuskan tahun lalu bahawa beliau tidak sepatutnya menjalani hukuman pada 2023 di sebuah bilik hospital, sebaliknya di sel penjara.

THAKSIN Shinawatra, menerima sekuntum bunga ros daripada seorang penyokong ketika beliau beredar dengan menaiki kereta selepas dibebaskan dari Penjara Pusat Klong Prem di Bangkok pada 11 Mei 2026. Foto AFP

Beliau dipilih sebagai perdana menteri pada 2001 dan sekali lagi pada 2005 sebelum meninggalkan negara itu selepas penggal keduanya dipendekkan oleh rampasan kuasa tentera.

Selepas kembali ke Thailand pada Ogos 2023, Thaksin dijatuhi hukuman penjara selama lapan tahun atas kesalahan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Bagaimanapun, atas alasan kesihatan, beliau ditempatkan di bilik persendirian sebuah hospital. Hukuman itu kemudian dikurangkan kepada setahun menerusi pengampunan diraja sebelum dibebaskan di bawah skim pembebasan awal bagi banduan warga emas.

Kepulangannya ke Thailand serta pemindahan ke hospital yang berlaku serentak dengan pembentukan kerajaan baharu oleh Pheu Thai menimbulkan syak wasangka dalam kalangan orang ramai mengenai kemungkinan wujudnya perjanjian sulit serta layanan istimewa.

Mahkamah Agung pada September memutuskan Thaksin tidak mengalami masalah kesihatan kritikal dan tempoh rawatannya di hospital tidak boleh diambil kira sebagai tempoh menjalani hukuman, sekali gus menyebabkan beliau kembali ke penjara untuk menjalani hukuman selama setahun.

Thaksin merupakan antara lebih 850 banduan yang diluluskan untuk pembebasan awal.

Anaknya, bekas perdana menteri Paetongtarn Shinawatra, berkata kepada wartawan pada Khamis selepas bertemu Thaksin di penjara bahawa mereka “tidak membincangkan apa-apa mengenai politik” dan hanya bercakap mengenai keluarga.

Anak saudara Thaksin, Yodchanan Wongsawat, yang menjadi calon utama Pheu Thai menjelang pilihan raya Februari lalu, kini dilantik sebagai menteri pengajian tinggi dalam kabinet Anutin. – AFP

Tags: Global

Continue Reading

Previous: Semua 3 mangsa letusan Gunung Dukono ditemukan, operasi SAR ditamatkan
Next: Konflik Asia Barat: Modi gesa rakyat jimat bahan api, kurangkan pembelian emas, perjalanan luar negara

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.