Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Cabaran perpaduan era moden tuntut pendekatan lebih strategik
  • SEMASA

Cabaran perpaduan era moden tuntut pendekatan lebih strategik

Utusan Sarawak 8 hours ago
BERUCAP…Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Haslina Abdul Hamid
semasa berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Minggu Perpaduan Zon Sarawak 2026 di Boulevard Mall Miri, petang tadi.

MIRI: Cabaran perpaduan masa kini yang semakin kompleks merangkumi ruang digital, tekanan kos sara hidup, pendidikan dan pembangunan sosial memerlukan pendekatan lebih strategik serta bersasar bagi memastikan keharmonian rakyat terus terpelihara.

Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Haslina Abdul Hamid berkata, perubahan landskap sosial semasa menuntut usaha memperkukuh perpaduan tidak lagi boleh bergantung kepada pendekatan umum atau program bersifat sekali lalu.

Menurutnya, kerajaan menerusi Kementerian Perpaduan Negara mengambil langkah lebih menyeluruh dengan memperkasakan pendekatan bersasar merangkumi pendidikan, komuniti, agama, belia serta pembangunan sosioekonomi.

“Jika dahulu cabaran perpaduan banyak tertumpu kepada interaksi fizikal antara komuniti, namun hari ini ia turut dipengaruhi ruang digital, ekonomi harian, peluang pendidikan dan akses pembangunan.

“Justeru, perpaduan perlu dilihat sebagai agenda berterusan yang memerlukan komitmen dasar, pelaksanaan berkesan dan penglibatan aktif seluruh rakyat,” katanya sempena Majlis Perasmian Sambutan Minggu Perpaduan Zon Sarawak 2026 di Boulevard Mall Miri, petang tadi.

Majlis itu dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah.

Haslina berkata, program seperti Rukun Tetangga Progresif terus diperkasa sebagai pemacu keharmonian di peringkat akar umbi, selain pelaksanaan pelbagai inisiatif pendidikan seperti Gerak Integrasi Perpaduan, Pidato Rukun Negara, Jelajah Belia Rukun Negara dan Misi Sukarelawan Siswa.

Tambahnya, pendekatan dialog antara agama, program silang budaya serta usaha meraikan kepelbagaian juga diperluaskan bagi mengurangkan salah faham dan meningkatkan empati antara masyarakat.

Beliau menegaskan, Sarawak kekal sebagai contoh terbaik perpaduan nasional apabila masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya terus hidup dalam suasana aman, saling menghormati dan bekerjasama.

“Perpaduan bukan sekadar slogan, tetapi perlu diterjemahkan melalui amalan harian seperti membantu jiran, meraikan perayaan bersama dan membina kepercayaan dalam komuniti,” katanya.

Beliau turut menggesa generasi muda supaya terus menyemai nilai faham, hormat, terima dan raikan kepelbagaian bagi memastikan legasi perpaduan negara terus kukuh pada masa depan.

Oleh Liong Chai Ling

Continue Reading

Previous: Sarawak mahu ambil alih lebih banyak entiti strategik Persekutuan
Next: Amaran ribut petir, hujan lebat beberapa negeri hingga 9.00 malam

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.