SARIKEI: Bekalan barangan di semua sektor peruncitan di Bahagian Sarikei adalah mencukupi.
Ketua Kementerian Per- dagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarikei, Mohamad Zawawi berkata, semua premis perniagaan di peringkat pengilang, pemborong dan peruncit masih beroperasi seperti biasa dan ini telah menyumbang kepada kestabilan dan keberadaan barangan keperluan di dalam pasaran.
“KPDNHEP mengambil maklum mengenai situasi pembelian panik yang dikatakan berlaku di beberapa kawasan di negara ini.
“Ini mungkin berikutan pengumuman khas yang akan dibuat oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dijadualkan Isnin (hari ini), mengenai tindakan yang akan dilaksanakan kerajaan.
“Situasi pembelian panik ini tidak sepatutnya berlaku kerana hasil pemantauan pegawai penguatkuasa dan Pegawai Pemantau Harga KPDNHEP Sarikei mendapati bekalan barangan di semua sektor peruncitan di Bahagian Sarikei adalah mencukupi,” katanya.
Mohamad berkata demikian dalam satu kenyataan, pagi semalam.
Katanya, keadaan ini berbeza ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama kali dilaksanakan pada 18 Mac 2020 dimana kebanyakan premis perniagaan terpaksa ditutup dan memberi kesan kepada keberadaan bekalan barangan keperluan di dalam pasaran.
“Kementerian sentiasa memantau secara harian barang-barang keperluan pengguna di seluruh negara bagi memastikan barangan ini sentiasa mencukupi dan mudah diperolehi di pasaran, sekaligus mampu menampung keperluan pengguna secara berterusan.
“Antara barangan yang dipantau termasuk gula, minyak masak, tepung gandum, beras, roti putih, susu tepung, ayam, telur ayam, sayur-sayuran, bawang, cecair sanitasi tangan dan pelitup muka.
“Pemantauan barang ke- perluan ini membabitkan 13 peruncit Terpilih Daerah (DDR) dan sembilan pemborong Terpilih Daerah (DDW) merangkumi Daerah Sarikei, Meradong, Pakan dan Julau,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan pengguna di Bahagian Sarikei untuk mengelakkan melakukan pembelian panik kerana ia boleh memberi kesan kepada kekurangan bekalan barangan keperluan di dalam pasaran.
“Kesemua anggota pe- nguatkuasa dan Pegawai Pemantau Harga KPDNHEP Sarikei juga akan terus giat melakukan pemantauan setiap hari bagi memastikan bekalan mudah diperolehi.
“Sebarang aduan berkaitan bekalan dan harga serta pembelian panik pengguna boleh menghubu- ngi Bilik Gerakan KPDNHEP Sarikei di talian 084-657751,” katanya lagi.
Oleh EARL ANEK