
KUCHING: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (DVSS), Persatuan Pencegahan Kekejaman Terhadap Haiwan Sarawak (SSPCA) dan Persatuan Veterinar Sarawak (SVA) melaksanakan Program Vaksinasi Besar-Besaran, Pelesenan, Mikrocip dan Pemandulan Bersubsidi di Taman Datuk Song Swee Guan, Tabuan Jaya, hari ini.
Program dari 8.30 pagi hingga 4.30 petang itu mencatat penyertaan 152 pemilik anjing melibatkan 236 ekor anjing yang divaksin.

Daripada jumlah itu, 56 ekor menerima dos pertama manakala 180 ekor dos penggalak.
Dalam masa sama, MBKS mengeluarkan 290 lesen anjing dan memasang 60 mikrocip bagi memperkukuh kawalan rabies serta meningkatkan kebolehkesanan haiwan peliharaan.
Bagi program pemandulan bersubsidi, sebanyak 27 permohonan diterima daripada pemilik haiwan.

Datuk Bandar Kuching Selatan, Datuk Wee Hong Seng berkata, usaha pencegahan rabies memerlukan tanggungjawab bersama dan komitmen berterusan semua pihak.
“Pencegahan rabies adalah tanggungjawab bersama. Penglibatan berterusan masyarakat amat penting bagi memastikan persekitaran yang lebih selamat dan sihat untuk komuniti serta haiwan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut menggesa pemilik haiwan memastikan anjing divaksin setiap tahun, dilesenkan dan dipasang mikrocip sebagai amalan pemilikan haiwan yang bertanggungjawab.