KUCHING: Situasi pembelian panik yang dikatakan berlaku di beberapa kawasan di negara ini tidak seharusnya berlaku.
Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP),Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi (gambar),kementeriannya sedia maklum dengan situasi tersebut sejurus pengumuman khas yang akan dibuat oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Pengumuman Perdana Menteri adalah mengenai tindakan yang akan dilaksanakan kerajaan berhubung situasi semasa jangkitan Covid-19, yang menunjukkan trend peningkatan sejak kebelakangan ini.
“Hasil pemantauan anggota Penguat Kuasa KPDNHEP mendapati bekalan barangan di semua sektor peruncitan adalah mencukupi dan situasi ini tidak patut berlaku,” jelasnya.
Tambahnya lagi, semua premis perniagaan di peringkat pengilang, pemborong dan peruncit masih beroperasi seperti biasa.
“Situasi pada kali ini berbeza ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama kali dilaksanakan pada 18 Mac 2020 di mana kebanyakan premis perniagaan terpaksa ditutup.
“Memandangkan operasi premis perniagaan masih berjalan seperti biasa, kekurangan barangan keperluan di dalam pasaran adalah tidak benar sama sekali,” katanya lagi.
Tegasnya lagi, kementerian sentiasa memantau secara harian ketersediaan
barangan keperluan agar ia mencukupi untuk menampung keperluan pengguna secara berterusan.
“Antara barangan yang dipantau termasuk gula, minyak masak, tepung gandum,beras, roti putih, susu tepung,ayam, sayur-sayuran, telur,bawang, cecair sanitasi tangan dan pelitup muka.
“Kita akan sentiasa memastikan kawalan terhadap bekalan barangan keperluan ini agar barangan-barangan ini akan sentiasa mencukupi dan
mudah diperolehi,” ujarnya.
Pemantauan 12 barang keperluan ini membabitkan 2,711 peruncit terpilih daerah (DDR), 1,039 Pemborong Terpilih Daerah (DDW),223 Pengilang Terpilih Daerah (DDM) yang merangkumi 222 Parlimen dan 576 Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Saya ingin menasihati rakyat untuk mengelakkan melakukan pembelian panik kerana ia boleh memberi kesan kepada kekurangan bekalan barangan keperluan di dalam pasaran.
“Kita akan memastikan semua anggota Penguat Kuasa KPDNHEP di seluruh negeri untuk terus giat melakukan pemantauan setiap hari bagi memastikan bekalan barangan keperluan mencukupi buat semua pengguna,”kata beliau yang memberi jaminan.