
KUCHING: Program Kesedaran Kesihatan Hidupan Liar (WHAP) 2026 yang berlangsung selama dua hari di Kampung Rayu Iban, Matang berjaya memperkukuh kerjasama antara komuniti setempat dan agensi berkaitan dalam usaha memelihara kesihatan hidupan liar serta kesejahteraan awam.
Majlis penangguhan program tersebut telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan hari ini.
Program anjuran Perbadanan Perhutanan Sarawak itu membawa tema ‘Pendekatan Satu Kesihatan untuk Pemuliharaan Hidupan Liar ke Arah Kesejahteraan Bersama’ dan menjadi platform penting dalam memperkukuh hubungan antara pihak pengurusan Pusat Hidupan Liar Matang (MWC) bersama komuniti sekitar demi kelestarian hidupan liar.
Menurut kenyataan Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC), program tersebut turut mencerminkan komitmen berterusan agensi itu dalam meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pemuliharaan hidupan liar melalui pendekatan menyeluruh melibatkan manusia, haiwan dan alam sekitar.
“Program ini bukan sahaja memperkukuh hubungan antara komuniti dan agensi berkaitan, malah menjadi medium penting untuk mendidik masyarakat mengenai tanggungjawab bersama dalam menjaga keseimbangan ekosistem serta kesihatan awam,” menurut kenyataan itu.

Sepanjang program berlangsung, seramai 150 peserta daripada beberapa kampung sekitar terlibat termasuk Kampung Rayu Iban selaku tuan rumah, Kampung Sungai Belian, Kampung Sungai Rayu, Kampung Sri Kandong dan Kampung Jaya Bakti.
Program turut memberi penekanan terhadap aspek kesihatan awam dan haiwan menerusi kerjasama bersama Majlis Daerah Lundu (MDL), ‘Immune Belt Enforcement Team’ (IBET) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (DVSS) dalam pelaksanaan siri imunisasi rabies.
Sebanyak 150 vaksin rabies untuk kucing turut disumbangkan oleh SFC sebagai langkah meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan kawalan rabies di kawasan komuniti.
Selain itu, peserta turut didedahkan dengan sesi perkongsian ilmu oleh pakar jemputan antaranya Elisa Panjang daripada Kumpulan Pakar Tenggiling Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN) yang berkongsi mengenai usaha konservasi tenggiling serta Dominic Kelundek daripada Projek Borneo berkaitan warisan budaya dan alam semula jadi.