
MIRI: Projek pembinaan Jambatan Marina di Bahagian Miri secara rasmi memasuki fasa pelaksanaan bermula Mei ini dengan tempoh pembinaan dijangka siap sepenuhnya pada Mei 2029.
Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak menerusi hantaran di Facebook hari ini memaklumkan projek berimpak tinggi itu merupakan antara inisiatif utama kerajaan dalam memperkukuh jaringan perhubungan di Miri, sekali gus meningkatkan mobiliti pengguna jalan raya.
Menurut JKR, pembinaan jambatan berkenaan juga dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan infrastruktur yang lebih mampan, selamat dan berkualiti di kawasan berkenaan.
“Pelaksanaan projek ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam menyediakan kemudahan infrastruktur moden demi kesejahteraan rakyat serta menyokong pertumbuhan ekonomi setempat,” menurut hantaran tersebut.

Selain memperbaiki akses dan kesalinghubungan, projek tersebut turut dijangka memberi manfaat jangka panjang kepada penduduk serta sektor pembangunan di Miri.
JKR Sarawak menegaskan pihaknya komited memastikan pelaksanaan projek berjalan secara teratur, efisien dan mematuhi piawaian ditetapkan sepanjang tempoh pembinaan.
Projek Jambatan Marina dilihat sebagai antara komponen penting dalam pembangunan strategik Bahagian Miri sejajar usaha memperkukuh sistem pengangkutan negeri.
Oleh Liong Chai Ling