
KUALA LUMPUR: Petronas Dagangan Bhd (PDB) melantik Datuk Sazali Hamzah sebagai pengerusinya berkuat kuasa hari ini.
Menurut PDB dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Sazali kini merupakan Naib Presiden Eksekutif Petronas dan ketua pegawai eksekutif (CEO) bagi perniagaan hilirannya.
Beliau juga berkhidmat sebagai pengerusi dan pengarah bagi beberapa syarikat dalam kumpulan Petronas.
Sebelum ini beliau merupakan Pengarah Urusan dan CEO Petronas Chemicals Group Bhd dari 8 Mei, 2014 hingga 31 Disember, 2021.
Sazali juga pernah berkhidmat sebagai Pengarah Urusan dan CEO Petronas Penapisan (Melaka) Sdn Bhd.
Sepanjang kerjayanya bersama Petronas, beliau memegang beberapa jawatan kepimpinan kanan termasuk pengurus besar kanan penyelesaian teknologi kumpulan serta ketua pengurusan dan penyampaian projek dengan pengalaman yang merangkumi perniagaan penapisan serta petrokimia.
-Bernama