
KUCHING: Projek pembinaan tambahan tempat letak kereta di sebelah Balai Raya Komuniti Lorong 17A, Skim Penempatan Semula Stampin telah siap dilaksanakan di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) 2025.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa, Wilfred Yap berkata projek bernilai RM100,000 itu telah diserahkan secara rasmi bersama pegawai daripada Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS).
Menurut beliau, projek itu dilaksanakan bagi mengatasi masalah kekurangan parkir yang telah lama dihadapi penduduk serta pengguna balai raya berkenaan.
Katanya, kekurangan kemudahan parkir sebelum ini sering menyebabkan kesesakan lalu lintas, parkir berganda dan kesulitan kepada penduduk, khususnya ketika berlangsungnya acara komuniti seperti majlis perkahwinan, mesyuarat, upacara pengebumian dan pelbagai aktiviti lain.
“Kenderaan sering terpaksa diletakkan di bahu jalan yang sempit sehingga menjejaskan aliran trafik serta menimbulkan kebimbangan dari segi keselamatan pengguna jalan raya,” katanya.
Beliau berkata pihaknya menerima banyak aduan dan maklum balas daripada penduduk berhubung isu itu sejak beberapa tahun lalu, justeru ia diberi keutamaan di bawah RTP 2025.
“Dengan siapnya projek ini, penduduk dan pengunjung kini mempunyai kemudahan parkir yang lebih tersusun dan selamat. Ia juga akan meningkatkan akses ke balai raya komuniti serta mengurangkan kesesakan trafik semasa aktiviti dijalankan,” katanya.
Yap berkata penambahbaikan infrastruktur awam, walaupun berskala kecil, memainkan peranan penting dalam meningkatkan keselesaan dan kualiti hidup penduduk di Kota Sentosa.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pegawai MBKS, ketua masyarakat dan penduduk tempatan atas kerjasama serta sokongan sepanjang pelaksanaan projek tersebut.
Dalam pada itu, beliau menegaskan komitmen untuk terus bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan dan komuniti dalam mengenal pasti serta menyelesaikan isu penduduk melalui projek pembangunan yang praktikal dan berorientasikan rakyat.
Oleh Connie Chieng