
KUALA LUMPUR: Organisasi media perlu memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dengan bukan sekadar untuk mengautomasikan operasi bilik berita, tetapi juga menjana pendapatan melalui data arkib dan pemahaman audiens yang dikumpul sejak beberapa dekad demi memperkukuh kelestarian perniagaan jangka panjang.
Pakar AI dan Transformasi Digital Charles Gregory berkata syarikat media memiliki set data berharga yang boleh dimanfaatkan semula untuk pengiklan, perniagaan dan industri tertentu, sekali gus memberikan mereka kelebihan yang tidak dimiliki oleh pempengaruh dan platform digital lain.
“Data yang anda miliki, apa yang anda kumpulkan, pada pandangan saya adalah ‘lombong emas’ yang mungkin masih belum diterokai sepenuhnya oleh kebanyakan organisasi media… kita gunakan AI sebagai pelengkap, sebagai tambahan untuk membantu mencapai apa yang kita ingin lakukan,” katanya.
Beliau berkata kepada Bernama selepas menjadi ahli panel Forum Media Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 bertajuk “Shaping the Future of Malaysian Media in the Digital and AI Era” hari ini.
Gregory berkata organisasi perlu terlebih dahulu menentukan matlamat, identiti dan hala tuju perniagaan sebelum mengguna pakai teknologi AI, di samping menegaskan teknologi seharusnya menyokong kepimpinan manusia dan bukannya menggantikannya.
“Namun, jika kita hanya menumpukan kepada AI, maka kita akan mengabaikan tentang aspek manusia, pengurusan, budaya serta indentiti yang dimiliki oleh media. Objektif adalah sangat penting,” katanya.
Beliau berkata evolusi AI dalam media wajar dilihat sama seperti perubahan teknologi sebelum ini yang melibatkan media cetak, radio, televisyen dan Internet.
“Kita hanya perlu melihat kembali sejarah, memahami bagaimana ia dilakukan dan berevolusi serta menggunakan konsep yang sama dalam AI. Kemudian gunakan AI untuk membantu anda melaksanakan kerana AI sangat berkuasa,” katanya.
Bagaimanapun, Gregory mengingatkan bahawa kebergantungan yang tinggi terhadap AI mampu menjadi mahal dan berisiko sekiranya organisasi tidak mengambil kira pulangan pelaburan (ROI) jangka panjang.
Beliau berkata semakin tinggi kebergantungan terhadap platform AI, semakin besar risiko yang dihadapi perniagaan termasuk peningkatan kos operasi serta kelemahan sistem dari semasa ke semasa, selain isu keselamatan siber dan gangguan operasi.
“Orang ramai memperkatakan tentang automasi namun mereka tidak mengambil kira ROI. Pada peringkat awal, ia sentiasa murah.
“Mungkin juga percuma namun semakin kita bergantung kepadanya, semakin meningkat (harga),” katanya sambil membandingkan trend berkenaan dengan corak harga yang dilihat dalam platform digital dan perkhidmatan utiliti.
Sementara itu, pada sesi perkongsian berkenaan, Arkitek Penyelesaian Pengkomputeran Awan Huawei Malaysia Cheah Chern Eu berkata organisasi media di Malaysia semakin melihat AI sebagai teknologi penting dalam meningkatkan produktiviti dan kecekapan operasi bilik berita.
“… kerana dalam kewartawanan tradisional, banyak masa diperlukan untuk menyiapkan sesuatu tugasan.
“Dengan AI, anda mampu memperoleh maklumat dengan pantas namun maklumat berkenaan masih perlu disahkan melalui proses penglibatan manusia dalam semakan. Manusia juga perlu melakukan semakan fakta,” katanya.
Beliau berkata Huawei sedang memperluas teknologi dan inovasinya untuk membantu pelbagai industri menerapkan AI dengan lebih pantas, bukan sahaja dalam sektor media tetapi juga industri lain. – Bernama