
KUALA LUMPUR: Forum Media HAWANA 2026 membuka tirai sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) tahun ini dengan seruan agar media Malaysia menyesuaikan diri dengan perubahan semasa tanpa mengabaikan integriti dan kepercayaan awam.
Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin berkata forum sehari itu berjaya mencetuskan perbincangan bermakna mengenai isu semasa termasuk transformasi digital, perkembangan teknologi serta keperluan industri media untuk terus kekal relevan.
Beliau berkata forum itu turut menerima maklum balas positif daripada rakan media yang menyifatkan topik yang dibincangkan bertepatan dengan keadaan semasa industri.
“Ini adalah pandangan daripada rakan-rakan saya… mereka menyatakan topik yang dibawa memang kena pada masanya… kita pula berdepan dengan krisis akibat konflik di Asia Barat dan ia sedikit sebanyak memberi impak kepada dunia dan bidang kewartawanan, juga industri media,” katanya kepada Bernama selepas forum berkenaan di sini hari ini.
Nur-ul Afida berkata dalam mendepani cabaran semasa, industri media perlu memikirkan langkah dan perancangan terbaik bagi memastikan kelangsungan sektor itu.
“Kita kini perlu memikirkan bagaimana untuk berdepan cabaran dan merancang strategi bagi memastikan kelangsungan industri media.
“Semua topik yang dibawa, Alhamdulillah menepati keadaan semasa dan saya percaya pengisian, perkongsian serta pandangan yang diutarakan dalam tiga sesi forum ini dapat membantu syarikat media, pengamal media dan pelajar komunikasi,” katanya.
Forum itu menarik lebih 250 peserta termasuk pemimpin organisasi media dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak, wakil agensi berita asing di Malaysia serta pelbagai pihak berkepentingan lain.
Menerusi tiga sesi forum yang diketengahkan, peserta membincangkan bagaimana bilik berita boleh menerima inovasi, memperkukuh kredibiliti dan merancang kelestarian dalam suasana perubahan pantas.
Antara intipati utama yang dibangkitkan ialah tekanan semasa industri akibat perubahan digital, penggunaan teknologi dan perubahan geopolitik, selain penekanan terhadap perancangan praktikal bagi memastikan kelangsungan bilik berita.
Forum itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching serta turut dihadiri Pengerusi Bernama Datuk Seri Wong Chun Wai dan Ketua Pengarang Arul Rajoo Durar Raj.
Buat pertama kali, forum itu diadakan selama sehari bagi menggalakkan perbincangan lebih mendalam serta pertukaran idea yang lebih fokus, menjelang sambutan kemuncak HAWANA 2026 di Pulau Pinang pada 20 Jun ini dengan tema “Media Berintegriti, Teras Kredibiliti”.
Dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dengan Bernama sebagai agensi pelaksana, HAWANA merupakan platform kemuncak bagi menghargai sumbangan, ketekunan serta profesionalisme pengamal media di Malaysia. – Bernama