

ROBAN: Projek Pakej A5 Jalan Utama Kedua di Persimpangan Bertingkat Roban dijangka siap sepenuhnya pada Mac 2027 sekali gus menjadi pemangkin baharu kepada sistem jaringan jalan raya di Sarawak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, projek berkenaan akan memberi impak besar terhadap kemudahan asas rakyat terutama penduduk luar bandar yang bergantung kepada jaringan jalan raya untuk urusan harian.
Beliau berkata demikian semasa mengadakan lawatan kerja bersama Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Ir Aidel Lariwoo ke tapak projek Pakej A5 Jalan Utama Kedua di Persimpangan Bertingkat Roban, semalam.
Menurut beliau, sesi taklimat lawatan tapak telah disampaikan oleh Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Betong, Jason Ng Boon Tuan.


Katanya, berdasarkan taklimat tersebut, projek berkenaan kini telah mencapai 64 peratus tahap pembinaan dan berada pada landasan yang baik untuk disiapkan mengikut jadual ditetapkan.
Jelas beliau, Pakej A5 Jalan Utama Kedua melibatkan jajaran sepanjang 28.5 kilometer bermula dari Persimpangan Bertingkat Roban sehingga ke Jambatan Saribas 2.
Tambah Mohamad Duri lagi, apabila projek tersebut siap kelak, perjalanan menuju ke Kuching akan menjadi lebih singkat melalui rangkaian Jambatan Krian, Jambatan Saribas 2, Jambatan Batang Lupar, Jambatan Sadong, Jambatan Samarahan dan terus ke Jambatan Sejingkat.
Menurutnya, laluan sepanjang kira-kira 160 kilometer itu akan mempercepatkan perjalanan dari kawasan selatan menuju ke utara Sarawak selain meningkatkan tahap kesalinghubungan antara kawasan bandar dan luar bandar.
Beliau berkata, pembangunan infrastruktur berimpak tinggi seperti itu merupakan satu kejayaan besar kerajaan dalam menyediakan kemudahan asas yang lebih baik demi kesejahteraan rakyat.
Katanya lagi, projek berkenaan juga diyakini mampu merangsang pertumbuhan ekonomi setempat termasuk sektor perdagangan, pelancongan dan pertanian di sepanjang jajaran laluan tersebut.
Sementara itu, ADUN Krian, Friday Belik berkata, siapnya projek jalan perhubungan tersebut nanti bukan sahaja memendekkan jarak dan masa perjalanan, malah bakal mengubah landskap sosioekonomi penduduk setempat.
Beliau menambah, kemudahan jaringan jalan raya moden itu dijangka membuka lebih banyak peluang pembangunan baharu serta meningkatkan akses rakyat luar bandar kepada pelbagai kemudahan dan perkhidmatan di bandar utama negeri ini.
Oleh Adi Safarman