Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • Organisasi media perlu pelbagaikan pendapatan untuk kelangsungan
  • NASIONAL

Organisasi media perlu pelbagaikan pendapatan untuk kelangsungan

Utusan Sarawak 5 hours ago
DATUK Seri Wong Chun Wai bertindak sebagai moderator bagi sesi pertama bertajuk “Kelestarian Media Ketika Krisis: Cabaran dan Realiti Pendapatan” pada Forum Media HAWANA 2026. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Organisasi media perlu mempelbagaikan aliran pendapatan untuk menghadapi krisis dan bukan bergantung sepenuhnya kepada pengiklanan atau urusan protokol kerajaan, kata Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai.

Wong berkata era penerbit bergantung terutamanya kepada pengiklanan dan agensi kerajaan bagi penglibatan dalam urusan protokol telah berlalu, dengan persaingan pasaran menuntut strategi yang lebih padu dan jelas.

“Bagi syarikat media, kebanyakannya bergantung sepenuhnya pada pengiklanan dan bagi agensi kerajaan, ia bergantung sepenuhnya pada urusan protokol yang masih perlu melalui tender. Tetapi untuk mengekalkannya (pendapatan), perlu untuk berfikir dari segi komersial,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sebagai moderator semasa sesi pertama Forum Media HAWANA 2026 bertajuk Sustaining Media in Times of Crisis: Challenges and Revenue Realities (Mengekalkan Media Ketika Krisis: Cabaran dan Realiti Pendapatan).

Mengambil contoh Singapore Press Holdings (SPH), Wong berkata, kumpulan media itu mengambil langkah lebih awal untuk meningkatkan pendapatannya dengan melabur dalam hartanah meskipun terdapat keraguan dalam kalangan pemegang saham. 

FORUM MEDIA… Datuk Seri Wong Chun Wai (kiri) bertindak sebagai moderator bagi sesi pertama bertajuk “Kelestarian Media Ketika Krisis: Cabaran dan Realiti Pendapatan” pada Forum Media HAWANA 2026 hari ini. Ahli panel terdiri daripada Ketua Pegawai Kandungan Star Media Group Berhad Datin Paduka Esther Ng; Timbalan Pengarang Urusan Kumpulan (Berita dan Hal Ehwal Semasa) Media Prima Berhad Farrah Naz Abd Karim; serta Ketua Pengarah Penyiaran Radio Televisyen Malaysia (RTM) Ashwad Ismail (kanan). Foto BERNAMA

“Orang ramai bertanya, mengapa syarikat media menceburi bidang hartanah? Tetapi mereka terus melangkah tanpa menoleh kebelakang dan kini mampu meraih hasilnya,” katanya, sambil menambah pegangan SPH dalam aset utama Orchard Road telah menjana pendapatan jangka panjang yang stabil.

Oleh itu, Wong menggesa organisasi media Malaysia untuk mengkaji pendekatan serupa yang boleh menjana aliran tunai stabil sambil melindungi kebebasan editorial semasa kemelesetan ekonomi.

Berpandangan yang sama, ketua pegawai kandungan Star Media Group Berhad, Datin Paduka Esther Ng berkata kandungan berbayar sahaja tidak mencukupi untuk mengekalkan operasi bilik berita.

Beliau menekankan syarikat media mesti menyepadukan pelbagai saluran pendapatan termasuk langganan, kandungan berjenama dan acara, di samping memupuk tenaga kerja yang celik data dan cenderung perniagaan.

Katanya, lebih daripada 75 peratus penerbit di seluruh dunia kini menawarkan kandungan berbayar, tetapi “menjana keuntungan daripada kandungan berbayar semata-mata tidak lagi mencukupi”.

“Apa yang perlu ialah integrasi. Kita perlu memberi tumpuan kepada langganan digital, kandungan dan pengiklanan berjenama yang khusus, serta acara. Agensi media hari ini beroperasi sebagai entiti perniagaan, jadi anda perlu kreatif,” kata Esther, yang juga merupakan ahli lembaga Majlis Media Malaysia.

Sementara itu, Timbalan Pengarang Urusan Kumpulan Berita dan Hal Ehwal Semasa Media Prima Bhd, Farrah Naz Abd Karim berkata kumpulan tersebut memanfaatkan kekuatan portfolionya untuk meningkatkan produk yang menjana pendapatan, seperti siri  jelajah ‘Jom Heboh’, selain inisiatif amal. 

“Apa yang selalu difikirkan ialah bagaimana anda kembangkan produk yang anda percaya mempunyai potensi kukuh. Adakah kita akan menjelajah lebih banyak tempat dengan aktiviti yang kecil?” katanya sambil menegaskan kekuatan jenama menyokong keyakinan pengiklan,memandangkan semua orang sedang mencari peluang untuk mempelbagaikan pendapatan.

Ahli lembaga Majlis Media Malaysia itu juga menggesa pengambilan pekerja dan latihan bilik berita untuk mengutamakan keupayaan praktikal, komersial dan analitikal, sambil menambah organisasi mesti membuat perancangan kecekapan yang diperlukan bagi tempoh satu, lima dan 10 tahun akan datang untuk menangani cabaran industri yang pesat berkembang.

Forum Media HAWANA, anjuran Bernama, merupakan program sulung untuk semua acara yang dirancang sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026.

Program itu yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching disertai ketua organisasi media, termasuk dari Sabah dan Sarawak, wakil agensi media asing di Malaysia dan pelbagai pemegang kepentingan dalam landskap media negara.

Buat pertama kalinya, Forum Media HAWANA diadakan sebagai acara sehari bagi menggalakkan perbincangan yang lebih mendalam dan pertukaran idea yang lebih bermakna. – Bernama

Tags: Nasional

Continue Reading

Previous: Waris mangsa tanah jerlus Jalan Masjid India terima sijil kematian
Next: Warganegara ada lesen memandu asing boleh tukar LMM mulai 1 Jun, tertakluk sop JPJ

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.