
HANOI: Seorang maut manakala lima lagi dimasukkan ke hospital selepas memakan sup yang dimasak menggunakan cendawan hutan di Wilayah Son La, utara Vietnam, lapor Xinhua memetik laporan media tempatan VnExpress pada Khamis.
Menurut laporan itu, seramai 24 orang menghadiri satu majlis makan keluarga di Kampung Na Hien pada 2 Mei lepas, dengan enam daripada mereka kemudiannya memakan sup yang dimasak menggunakan cendawan yang dipetik dari hutan.
Menjelang 8.00 malam hari yang sama, kumpulan itu mula mengalami simptom termasuk sakit perut, muntah berulang kali dan cirit-birit.
Seorang wanita dilaporkan meninggal dunia selepas keadaannya merosot pada 4 Mei.
Laporan itu turut menyatakan empat daripada lima pesakit yang terselamat kini sedang menerima rawatan rapi di ibu negara Hanoi.
Pegawai kesihatan mengesyaki keracunan itu mungkin berpunca daripada cendawan putih maut yang mengandungi “amatoxin”, iaitu bahan toksik tinggi yang tidak akan musnah walaupun selepas dimasak.- B Bernama-Xinhua