
KUCHING: Ahli Parlimen Kuching, Dr Kelvin Yii Lee Wuen, menggesa pihak bertanggungjawab mengambil tindakan segera serta mempertimbangkan pampasan kepada penduduk dan peniaga yang terjejas susulan kejadian paip air pecah yang berlaku semalam, dipercayai berpunca daripada kerja pembinaan Projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS).
Beliau berkata kejadian terbaharu itu telah menyebabkan gangguan bekalan air lebih 20 jam kepada penduduk dan premis perniagaan di Tabuan Jaya, Stutong dan Jalan Song, sekali gus menjejaskan rutin harian serta operasi perniagaan.
“Kejadian seperti ini sepatutnya boleh dielakkan dengan perancangan, penyelarasan dan pelaksanaan kerja pembinaan yang lebih baik. Kontraktor KUTS dan Sarawak Water Sdn Bhd mesti bertanggungjawab sepenuhnya serta mempertimbangkan pampasan kepada kawasan perumahan dan premis perniagaan yang terjejas akibat kesulitan serta kerugian dialami,” katanya hari ini.
Dr Yii menegaskan beliau tidak membantah pembangunan atau penambahbaikan sistem pengangkutan awam seperti projek KUTS, namun menekankan bahawa setiap pembangunan perlu dilaksanakan secara bertanggungjawab dengan perancangan rapi serta langkah mitigasi bagi mengurangkan gangguan kepada orang awam
“Pembangunan penting untuk pertumbuhan masa depan Kuching dan Sarawak, tetapi ia mesti dilaksanakan secara bertanggungjawab,” katanya.
Beliau berkata kejadian paip pecah itu bukan kali pertama berlaku dan bimbang ia akan berulang sekiranya langkah pencegahan tidak diambil secara serius oleh pihak berkaitan.
Menurutnya, Sarawak Water Sdn Bhd dan pihak projek KUTS sepatutnya mempunyai pelan kontingensi yang lebih berkesan bagi memastikan bekalan air dapat dipulihkan dengan segera kepada kawasan terjejas.
Dr Yii berkata pejabatnya telah berhubung dengan pegawai Sarawak Water untuk tindakan segera termasuk penghantaran lori tangki air ke kawasan terjejas teruk seperti Jalan Bayor Bukit dan Tabuan Desa.

Bagaimanapun, beliau mendakwa Sarawak Water Wilayah Selatan ketika ini hanya mempunyai tiga lori tangki air yang beroperasi, yang disifatkannya tidak mencukupi untuk menangani insiden berskala besar.
“Akibatnya, ramai penduduk terpaksa menunggu berjam-jam sebelum mendapat bekalan air,” katanya.
Beliau turut menzahirkan kebimbangan terhadap kesan gangguan itu kepada sektor perniagaan seperti restoran, kedai kopi, gerai penjaja, salun rambut dan pusat cucian kereta yang terpaksa menghentikan operasi sementara.
Dr Yii turut menggesa Sarawak Metro Sdn Bhd, kontraktor KUTS dan Sarawak Water mewujudkan mekanisme pampasan yang sewajarnya kepada penduduk serta peniaga yang terjejas
“Pada masa sama, langkah pencegahan lebih kukuh, penyelarasan lebih baik antara agensi dan sistem tindak balas kecemasan yang lebih berkesan mesti diwujudkan bagi mengelakkan kejadian seperti ini menjadi kebiasaan di Kuching,” katanya.
Oleh Connie Chieng