
KUALA LUMPUR: Hampir 66 peratus ibu di Malaysia berdepan kekangan masa peribadi, mencerminkan cabaran berterusan dalam mengimbangi tuntutan keluarga, kerjaya dan kesejahteraan diri, menurut tinjauan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).
Pengerusi LPPKN Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata situasi itu menunjukkan realiti peranan ibu masa kini yang bukan sahaja sebagai pengurus rumah tangga dan pendidik, malah turut memikul pelbagai tanggungjawab lain.
“Ibu merupakan figura penting dalam keluarga, terutamanya dalam membentuk generasi masa hadapan. Namun, dalam melaksanakan peranan tersebut, mereka sering kali terpaksa berkorban sehingga terlupa untuk bernafas dan burnout (lesu upaya) secara fizikal dan mental,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu Podcast KASIH Lensa Keluarga Musim Kedua terbitan Bernama TV, di sini semalam.
Bagi menghargai jasa ibu, Rohani berkata Sambutan Hari Ibu Peringkat Kebangsaan 2026 (HIK26) yang bakal berlangsung 10 Mei ini di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur akan membawa pendekatan yang sangat berbeza.
Beliau berkata sambutan yang bertemakan “Seteguh KASIH Ibu” itu tidak lagi sekadar majlis keraian, tetapi diangkat sebagai platform advokasi untuk memperkasakan kembali emosi dan mental wanita.
“Sambutan tahun ini memberi tumpuan kepada tiga fokus utama iaitu memberi penghormatan dan pengiktirafan kepada jasa serta pengorbanan ibu.
“Selain meningkatkan kesedaran masyarakat bahawa kesejahteraan ibu dari segi fizikal, mental dan emosi adalah kunci kepada kesejahteraan keluarga, serta menggalakkan penglibatan semua pihak dalam memartabatkan institusi keluarga,” katanya.
Rohani berkongsi antara pengisian utama HIK26 tahun ini ialah Pakej Seteguh KASIH Ibu yang memberi fokus kepada kesejahteraan ibu secara menyeluruh merangkumi aspek kesihatan, emosi dan mental.
Beliau berkata pakej berkenaan dibahagikan kepada tiga komponen utama, iaitu Pakej Sayang Ibu, Pakej Jalinan KASIH Ibu dan Pakej Minda Tenang.
“Pakej Sayang Ibu memberi tumpuan kepada aspek kesihatan melalui saringan HPV DNA dan subsidi mamogram, selain sokongan rawatan kesuburan serta advokasi subfertiliti melalui Bantuan Rawatan Kesuburan dan Advokasi Subfertiliti (BuAI),” katanya.
Beliau berkata Pakej Jalinan KASIH Ibu pula menekankan pengukuhan emosi melalui aktiviti interaktif seperti terapi seni, terapi ketawa serta pendedahan kepada lima bahasa cinta bagi memperkukuh hubungan kekeluargaan.
Sementara itu, Pakej Minda Tenang memberi ruang relaksasi kepada ibu melalui perkhidmatan urutan kesejahteraan MamaCare serta analisis warna yang membantu meningkatkan keyakinan diri dan kesejahteraan mental.
Rohani berkata kesemua perkhidmatan di bawah pakej berkenaan akan turut ditawarkan di Pusat Keluarga LPPKN di seluruh negara bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati secara lebih meluas.
Selain ibu, bakal ibu juga diberikan tumpuan apabila HIK26 turut menampilkan dua forum khas iaitu forum ‘Pejuang Dua Garisan’ dan ‘Seteguh Kasih Ibu’ sebagai wadah perkongsian pengalaman, ilmu dan sokongan emosi berkaitan usaha mendapatkan zuriat melalui rawatan kesuburan.
Beliau berkata LPPKN turut memperkenalkan Anugerah Khas Inspirasi Ibu bagi mengiktiraf ketabahan wanita yang melalui perjalanan mendapatkan zuriat di Klinik Subfertiliti LPPKN, yang menjadi sumber inspirasi kepada pasangan lain serta mencerminkan kekuatan jiwa dalam membina keluarga.- Bernama