
KUALA LUMPUR: Airbus hari ini mengesahkan AirAsia menempah sebanyak 150 pesawat Airbus A220, iaitu tempahan terbesar bagi model itu setakat ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Airbus bagi Perniagaan Pesawat Komersial Lars Wagner membuat pengumuman itu di Mirabel, Quebec, Kanada, pada 2.30 petang Rabu (3.00 pagi waktu tempatan).
Turut hadir ketika pengumuman itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Bhd Tan Sri Tony Fernandes, yang juga pengasas syarikat penerbangan tambang rendah Malaysia.
Majlis pengumuman perjanjian bersejarah itu turut disaksikan oleh Perdana Menteri Kanada Mark Carney.
“Tempahan ini merupakan satu undi percaya yang besar terhadap kemudahan Airbus, serta kepada warga Mirabel, Quebec dan Kanada. Malah, setiap pesawat yang akan diterima oleh Fernandes adalah hasil daripada kemudahan di Mirabel ini.
“Ia juga membuktikan bahawa keputusan kami untuk membawa Airbus A220 ke dalam portfolio penuh Airbus adalah tepat. Marilah kita bina pesawat-pesawat ini dari hangar ini dan memasukkannya ke dalam barisan armada anda secepat mungkin. Izinkan saya mengakhiri ucapan dengan menyatakan bahawa, pada pandangan saya, hari ini merupakan hari yang menguntungkan untuk semua pihak,” kata Wagner dalam ucapannya.
Beliau berkata dengan tempahan daripada AirAsia, pesawat enjin berkembar itu kini telah melepasi 1,100 tempahan dan menyifatkannya sebagai satu pencapaian besar untuk program Airbus A220.
Beliau juga berkata pesawat Airbus ini yang merupakan pencetus perubahan akan membolehkan AirAsia menghubungkan bandar-bandar yang belum pernah dihubungkan setakat ini.
“Dan Airbus A220, seperti mana yang saya pasti semua orang di dalam bilik ini sedia maklum, merupakan satu-satunya reka bentuk baharu sepenuhnya dalam kelasnya dan perkara itu dibuktikan melalui angka—iaitu pengurangan pembakaran bahan api dan pengurangan CO2 sebanyak 25 peratus,” tambah beliau.
Airbus A220 merupakan pesawat terkecil dalam barisan jet komersial Airbus. Ia adalah pesawat berbadan sempit yang direka untuk penerbangan jarak pendek-sederhana dan dibina khusus untuk kategori pesawat 100 hingga 160 tempat duduk.- Bernama