
SARATOK: Keprihatinan terhadap nasib golongan nelayan sungai terus diberi perhatian apabila Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka tampil menghulurkan bantuan kepada dua nelayan yang terjejas akibat kerosakan peralatan menangkap ikan di Sungai Krian.
ADUN Kalaka, Mohamad Duri berkata, bantuan tersebut disampaikan bagi meringankan beban nelayan yang kehilangan sumber pendapatan selepas peralatan mereka rosak teruk akibat arus deras dan dilanggar ‘rebak’ beberapa minggu lalu.
Menurut beliau, kedua-dua nelayan terbabit sebelum ini telah mengemukakan permohonan kepada Pusat Khidmat ADUN Kalaka untuk mendapatkan bantuan menggantikan peralatan yang tidak lagi dapat digunakan.
“Golongan nelayan sungai memainkan peranan penting dalam ekonomi setempat dan mereka bergantung sepenuhnya kepada hasil tangkapan untuk menyara keluarga masing-masing,” katanya.
Sumbangan berkenaan telah disampaikan oleh Setiausaha Kehormat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Kalaka, Gapor Ahmad yang hadir mewakili ADUN Kalaka dalam satu majlis ringkas penyerahan bantuan peralatan menangkap ikan dekat sini semalam.
Mohamad Duri berkata, bantuan itu diharap dapat membantu kedua-dua penerima membeli peralatan menangkap ikan yang baharu supaya mereka dapat kembali menjalankan aktiviti harian seperti biasa.
Beliau turut menegaskan bahawa kebajikan rakyat, khususnya mereka yang berdepan kesukaran mencari rezeki akibat faktor luar jangka, akan terus diberi perhatian oleh pihaknya.
Dalam pada itu, Mohamad Duri berharap sumbangan yang diberikan sedikit sebanyak mampu memberi semangat kepada penerima untuk terus berusaha meningkatkan taraf kehidupan keluarga masing-masing.
Oleh Adi Safarman