
SARATOK: Penganjuran Mahrajan al-Quran, nasyid dan khat bukan sekadar platform pertandingan semata-mata, sebaliknya menjadi wadah penting dalam melahirkan generasi muda yang berakhlak mulia serta berintegriti tinggi melalui penghayatan terhadap ajaran al-Quran.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, program seumpama itu jelas memperlihatkan usaha berterusan dalam memartabatkan pendidikan Islam dan memperkukuh penghayatan nilai-nilai murni dalam kalangan pelajar.
Menurut beliau, selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, pendidikan di negara ini perlu dilihat sebagai usaha berterusan untuk memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu bagi melahirkan insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.
Katanya, penganjuran Mahrajan al-Quran, nasyid dan khat amat bertepatan dengan hasrat tersebut kerana aktiviti seperti tilawah al-Quran, hafazan, seni khat dan nasyid bukan sahaja mencungkil bakat murid, malah menjadi medium membentuk sahsiah, memperkukuh spiritual dan memupuk jati diri unggul.
“Seni nasyid dan khat juga mampu memperindah jiwa serta menjadi medium dakwah yang berkesan dalam menyampaikan mesej kebaikan agar masyarakat lebih dekat dengan nilai-nilai keindahan Islam,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penangguhan Mahrajan al-Quran, Nasyid dan Khat Sekolah Peringkat Bahagian Betong di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Saratok semalam.
Mahrajan kali ini melibatkan penyertaan 11 sekolah dari lapan zon dengan seramai 160 peserta mengambil bahagian dalam empat acara yang dipertandingkan.
Mohamad Duri dalam pada itu, turut menegaskan bahawa pembangunan pendidikan tidak seharusnya tertumpu kepada kecemerlangan akademik semata-mata, sebaliknya perlu memberi perhatian kepada pembangunan sahsiah dan nilai sejajar dengan tema tahun ini, “Adab dan Nilai Nadi Reformasi Pendidikan”.
Beliau berkata, aspirasi tersebut turut diperkukuh menerusi Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035 yang memberi penekanan terhadap pembentukan murid secara holistik termasuk pengukuhan nilai, pembangunan sahsiah serta kesejahteraan emosi dan rohani.
Dalam konteks itu, katanya, pendidikan kini perlu dilihat sebagai proses pembelajaran bermakna yang membentuk keperibadian, daya fikir dan keupayaan murid menghadapi cabaran masa depan dengan penuh keyakinan dan integriti.

Beliau turut menyeru semua peserta agar memanfaatkan peluang menyertai mahrajan untuk menimba pengalaman, mengasah bakat dan meningkatkan keyakinan diri selain memupuk semangat ukhuwah dan persaudaraan.
Mohamad Duri turut mengucapkan tahniah kepada peserta yang berjaya mewakili Bahagian Betong ke peringkat negeri di Sibu sebelum beraksi di peringkat kebangsaan di Negeri Sembilan tahun ini.
Dalam pada itu, beliau turut menyentuh pelbagai inisiatif pendidikan kerajaan Sarawak termasuk Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) dan menggesa pelajar serta ibu bapa merebut peluang yang disediakan bagi melanjutkan pelajaran demi masa depan yang lebih cemerlang.
Oleh Adi Safarman