
BINTANGOR: Program Jualan Agro MADANI dan Program Jualan Agro Sarawakku Sayang dijadualkan berlangsung pada 22 Mei dan 23 Mei ini di tebingan Sungai Bintangor bagi membantu rakyat mendapatkan bekalan makanan pada harga berpatutan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, kedua-dua program tersebut merupakan inisiatif penting kerajaan dalam membantu rakyat di samping memberi manfaat kepada petani, penternak dan usahawan tempatan.
“Program Jualan Agro Sarawakku Sayang dan Jualan Agro MADANI merupakan satu inisiatif penting kerajaan dalam membantu rakyat mendapatkan bekalan makanan pada harga yang berpatutan.
“Di samping itu, ia memberi manfaat kepada para petani, penternak dan usahawan tempatan untuk memasarkan hasil pertanian dan produk mereka secara lebih meluas dan berkesan,” katanya ketika menghadiri mesyuarat program tersebut di bilik mesyuarat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Meradong, semalam.
Katanya, program tersebut bukan sahaja membantu meringankan kos sara hidup rakyat, malah turut memperkukuh rantaian bekalan makanan negara serta merangsang pertumbuhan ekonomi komuniti setempat khususnya di kawasan Meradong dan sekitarnya
Beliau turut menegaskan bahawa kerjasama erat antara agensi kerajaan seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), PPK dan semua pihak berkepentingan amat penting dalam memastikan pelaksanaan program berjalan lancar dan memberi manfaat menyeluruh kepada masyarakat.
“Saya yakin melalui kerjasama erat semua pihak, pelaksanaan program ini akan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan memberi impak yang lebih menyeluruh kepada masyarakat,” katanya.
Turut hadir Pengurus PPK Meradong, Khamis Unting.
Oleh Earl Anek