
GENEVA: Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) hari ini menggesa kerajaan menjadikan pembelajaran sepanjang hayat sebagai keutamaan dasar pusat, memberi amaran bahawa transformasi global utama berisiko meningkatkan ketidaksamaan tanpa sistem latihan yang lebih kukuh, lapor Anadolu Ajansi.
Menurut agensi itu dalam laporan baharu, pendigitalan, kecerdasan buatan, peralihan hijau dan perubahan demografi sedang membentuk semula pasaran buruh serta keperluan kemahiran di seluruh dunia.
Tanpa sistem pembelajaran inklusif, anjakan itu boleh melebarkan jurang dalam dan antara negara, katanya.
“Pembelajaran sepanjang hayat ialah jambatan antara pekerjaan hari ini dan peluang esok,” kata Ketua Pengarah ILO Gilbert F. Houngbo dalam laporan itu.
“Ia bukan sahaja mengenai kebolehpasaran dan produktiviti, tetapi juga tentang menyokong kerja yang baik, memacu inovasi sebenar dan membina masyarakat yang berdaya tahan.”
Laporan itu mendapati hanya 16 peratus individu berumur 15 hingga 64 tahun menyertai latihan berstruktur sepanjang tahun lepas, menonjolkan akses yang tidak sama rata, terutamanya bagi pekerja tidak formal dan mereka yang mempunyai tahap pendidikan rendah.
Ia juga menekankan bahawa memberi tumpuan hanya pada kemahiran teknikal adalah tidak mencukupi, kerana majikan semakin menuntut gabungan kebolehan digital, kognitif dan sosio-emosi.
Walaupun permintaan untuk kemahiran berkaitan kecerdasan buatan masih terhad, ILO berkata kecekapan yang lebih luas seperti pemikiran kritis dan komunikasi menjadi lebih penting.
Laporan itu juga memberi amaran bahawa pekerjaan yang dikaitkan dengan peralihan hijau tidak secara automatik memastikan keadaan kerja yang lebih baik.
Ia juga menyatakan bahawa permintaan global untuk pekerja jagaan dijangka hampir dua kali ganda menjelang 2050, meningkat daripada 85 juta kepada 158 juta.
Menggesa untuk pelaburan dan penyelarasan yang lebih kukuh, ILO menegaskan bahawa kerajaan, majikan dan pekerja mesti bekerjasama untuk meluaskan akses kepada pembelajaran sepanjang hayat atau berisiko meninggalkan segmen besar tenaga kerja. – Bernama