
KATHMANDU: Pendaki gunung warga India dan seorang pemandu Sherpa dari Nepal cedera hari ini selepas runtuhan serac di sepanjang laluan Khumbu Icefall di Gunung Everest, yang turut dikenali sebagai Gunung Qomolangma dalam bahasa Tibet, menurut Jabatan Pelancongan Nepal, lapor Xinhua.
Kejadian berlaku kira-kira 5.45 pagi waktu tempatan apabila runtuhan serac menyebabkan bongkah ais jatuh ke laluan utama pendakian dan mengenai anggota pasukan ekspedisi.
Serac ialah bongkah besar ais glasier yang tidak stabil, lazimnya terbentuk daripada rekahan bersilang di permukaan glasier atau di cerun ais yang curam.
Menurut jabatan itu, kejadian berlaku ketika pendaki dan pemandu daripada beberapa agensi ekspedisi sedang menuju ke Kem I dari Kem II melalui Khumbu Icefall sebagai sebahagian daripada proses penyesuaian diri.
Runtuhan serac itu menghalang laluan dan mengenai sebahagian daripada mereka.
Khumbu Icefall merupakan antara bahagian paling berbahaya di laluan pendakian Gunung Qomolangma, iaitu pendaki berdepan risiko tinggi akibat pergerakan ais yang kerap serta runtuhan serac.
Sekumpulan pemandu Sherpa melaksanakan operasi menyelamat sejurus selepas kejadian dan memaklumkan pegawai yang ditempatkan di Kem Pangkalan Gunung Qomolangma.
Mangsa yang cedera kemudian diterbangkan ke Kathmandu untuk rawatan.
“Kedua-duanya kini menerima rawatan di Hospital HAMS di Kathmandu, dan keadaan mereka stabil serta berada di luar bahaya,” menurut jabatan itu. – Bernama