
LONDON: Bintang pop Britney Spears mengaku bersalah atas pertuduhan lebih ringan selepas ditahan kerana memandu di bawah pengaruh, lapor PA Media/dpa.
Penyanyi berusia 44 tahun itu didakwa memandu di bawah pengaruh gabungan alkohol dan dadah di California bulan lepas.
Beliau tidak hadir pada prosiding di Mahkamah Ventura County pada Isnin, namun peguamnya mengaku bersalah bagi pihaknya terhadap pertuduhan lebih ringan itu, sekali gus membolehkan beliau mengelak hukuman penjara, menurut jurucakap mahkamah.
Tawaran pengakuan bersalah itu membolehkan Spears menjalani tempoh percubaan selama setahun dan dikenakan denda dan lazimnya diberikan kepada tertuduh tanpa rekod kesalahan memandu di bawah pengaruh (DUI), kemalangan jalan raya serta tahap alkohol dalam darah yang rendah.
Ia juga lazim bagi tertuduh yang menunjukkan kesungguhan untuk menangani masalah mereka dan mendapatkan rawatan, menurut Pejabat Peguam Daerah Ventura County.
Pertuduhan itu dibuat beberapa minggu selepas penyanyi yang sering mengungguli carta muzik itu secara sukarela memasuki pusat pemulihan.

Penyanyi lagu “Toxic” itu, yang memiliki kediaman di kawasan berkenaan, ditahan pada 5 Mac selepas dilihat memandu secara “tidak menentu” dengan kereta BMW 430i berwarna hitam miliknya.
Polis memaklumkan Spears “menunjukkan tanda-tanda terjejas dan menjalani beberapa ujian ketenangan di lapangan” selepas diberhentikan.
Peguam daerah Erik Nasarenko berkata pada Isnin: “Cik Spears bertanggungjawab atas kesalahan ringan ini dengan mengaku bersalah pada peringkat awal, iaitu dua bulan selepas beliau ditahan.
“Memandu di bawah pengaruh dadah atau alkohol serta melakukannya secara cuai dan tidak menentu adalah kesalahan serius yang membahayakan semua pengguna jalan raya dan lebuh raya.”
Beliau berkata Spears juga perlu melengkapkan program DUI pesalah pertama selama tiga bulan serta menjalani ujian kimia bagi alkohol dan/atau dadah semasa memandu.
Spears turut diwajibkan meneruskan rawatan penyalahgunaan bahan.
“Matlamat kami bukan sahaja memastikan individu dipertanggungjawabkan, tetapi juga menyokong perubahan tingkah laku jangka panjang melalui rawatan dan pemulihan,” katanya.
“Mahkamah telah menetapkan syarat tersebut. Kini terpulang kepada Cik Spears untuk mematuhinya.”
Pada 2007, penyanyi kelahiran Mississippi itu mengelak perbicaraan jenayah kes langgar lari selepas membayar ganti rugi apabila jurugambar merakam beliau melanggar sebuah kenderaan lain ketika cuba meletak kereta di sebuah kawasan parkir di California dan beredar selepas menilai kerosakan pada kenderaannya sendiri.
Sepanjang kerjayanya selama beberapa dekad, Spears meraih enam single nombor satu di United Kingdom dan lapan album dalam kelompok 10 terbaik, selain bekerjasama dengan artis seperti Madonna, Rihanna, Iggy Azalea dan Backstreet Boys.
Terbaharu, Spears melancarkan kolaborasi bersama Elton John pada 2022, sebelum bekerjasama dengan anggota Black Eyed Peas, will.i.am dalam lagu bertajuk “Mind Your Business” pada 2023.- Bernama-PA Media/dpa