
KUALA LUMPUR: Draf pindaan Akta Majlis Amanah Rakyat (MARA) 1966 dijangka dibentangkan kepada Jemaah Menteri dalam tempoh tiga minggu, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid berkata garis masa itu jauh lebih awal berbanding sasaran tiga bulan yang ditetapkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini, sekali gus menterjemah kecekapan pengurusan agensi berkenaan.
“Akta MARA yang baharu ini, biarpun di pentas ini saya dicabar oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri untuk membentangkannya kepada Jemaah Menteri dalam tempoh tiga bulan, dengan sokongan semua, saya akan buktikan saya sendiri akan membentangkan Akta MARA yang baharu ini dalam tempoh tiga minggu dari hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi Unplugged ANSARA bersempena dengan Perhimpunan Kami Gen MARA, di sini hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata keperluan meminda akta berusia 60 tahun itu adalah kritikal sebagai persediaan strategik untuk memastikan MARA kekal relevan bagi tempoh 40 hingga 100 tahun akan datang.
Beliau berkata pindaan itu akan memberikan tumpuan khusus kepada aspek tatakelola pengurusan, pelaburan, pengukuhan ekosistem pendidikan serta pemerkasaan usahawan dalam mendepani ledakan teknologi baharu.
Ahmad Zahid berkata orientasi perkhidmatan MARA kini perlu menyantuni masyarakat bumiputera secara holistik merangkumi kawasan bandar dan pinggir bandar selaras dengan perubahan demografi semasa.
Beliau berkata penduduk luar bandar kini hanya mencatat kira-kira 24.7 peratus daripada keseluruhan populasi negara, sekali gus menuntut MARA untuk meluaskan capaiannya tanpa terbatas kepada lokaliti geografi semata-mata.
“Melayu dan bumiputera sekarang tidak hanya duduk di luar bandar, mereka duduk di pinggir bandar, duduk di dalam bandar. Ertinya, MARA bukan hanya relevan kepada penduduk di luar bandar, tetapi MARA relevan kepada orang Melayu dan bumiputera yang tinggal di mana-mana saja sekalipun,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata kementeriannya komited untuk memperluas akses pendidikan khas bagi kanak-kanak autistik menerusi rangkaian prasekolah di bawah seliaannya di seluruh negara secara berperingkat.
Beliau berkata inisiatif itu yang bermula dengan projek rintis di Melaka, akan diperkasakan dengan sasaran mewujudkan sekurang-kurangnya satu kelas pendidikan autisme di setiap daerah menjelang tahun hadapan bagi meringankan beban ibu bapa yang mempunyai anak istimewa tersebut.- Bernama