
KUCHING: Sarawak bakal mencipta sejarah tersendiri apabila filem animasi muzikal pertama bertajuk The White Rajah of Sarawak, akan dihasilkan bagi mengangkat kisah warisan dan sejarah tempatan ke layar perak.
Langkah tersebut dimulakan menerusi pemeteraian memorandum persefahaman antara Motion Foundry Sdn Bhd dan St Joseph’s Private Education Berhad di Auditorium Muzium Budaya Borneo (BCM), di sini hari ini.
Pengarah filem berkenaan, Siew Chung Lee, berkata proses memindahkan skrip daripada pentas ke animasi memerlukan penelitian rapi agar intipati asal tidak terjejas.
“Untuk persembahan pentas asal, skrip ditulis khusus bagi pentas. Jadi apabila kita beralih ke layar perak dalam bentuk animasi, kami perlu berbincang dengan penulis skrip asal bagi menyesuaikannya dengan format baharu.
“Skrip animasi dan skrip pentas mempunyai perbezaan, jadi perbincangan penting bagi memastikan intipati cerita asal dapat dikekalkan,” katanya ketika ditemui media selepas majlis tersebut.

Beliau turut memaklumkan barisan pelakon masih belum dimuktamadkan dan pihak produksi akan membuka sesi uji bakat, dengan harapan lebih ramai anak Sarawak dapat terlibat dalam menjayakan projek berkenaan.
“Kami mahu karya ini benar-benar dihasilkan oleh anak tempatan dan mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan,” tambahnya.
Siew turut berharap bakat-bakat Sarawak, termasuk yang berada di luar negeri dan di luar negara, dapat bersama-sama menyumbang kepakaran bagi memastikan kejayaan projek ini.
Sebagai studio animasi tempatan, Motion Foundry membawa keupayaan kreatif serta pemahaman mendalam terhadap budaya Sarawak bagi memastikan kisah yang dipaparkan kekal autentik dan menyentuh jiwa penonton.
Filem tersebut mengisahkan sejarah Sarawak termasuk latar budaya tempatan serta permulaan Dinasti Brooke.
Penceritaan memfokuskan kepada ketibaan James Brooke di Borneo, usahanya membanteras kegiatan lanun dan perhambaan, pelantikannya sebagai Rajah Sarawak pada 1841 serta hubungan beliau dengan masyarakat tempatan.
Inisiatif ini bertujuan menyemai rasa bangga terhadap warisan Sarawak di samping membantu generasi muda mengenali serta menghayati sejarah negeri sendiri dengan lebih dekat.
Karya The White Rajah of Sarawak pada asalnya merupakan produksi pentas muzikal yang dihasilkan oleh pelajar dan tenaga pengajar St Joseph’s Private Education Berhad, yang mendapat sambutan menggalakkan daripada penonton.
Melalui adaptasi ke bentuk animasi, kisah yang sama kini dihidupkan semula dalam medium lebih luas, sekali gus menjadikan sejarah lebih menarik dan mudah difahami.
Pendekatan animasi dilihat sebagai bahasa sejagat yang mampu menyampaikan penceritaan secara hidup dan berkesan kepada pelbagai lapisan penonton, khususnya kanak-kanak dan keluarga.
Filem tersebut dijangka ditayangkan pada 22 Julai 2028, bersempena tarikh yang signifikan buat rakyat Sarawak, dengan proses produksi termasuk reka bentuk watak dijadual bermula dalam masa terdekat.
Oleh Adele Rissa