
SANDAKAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyediakan kemudahan pendaftaran Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) secara dalam talian dan fizikal bagi 23 kategori kenderaan pengangkutan darat barangan di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Menterinya Datuk Armizan Mohd Ali berkata, permohonan pendaftaran menyertai SKDS itu boleh dibuat antaranya melalui portal MySubsidi di pautan https://mysubsidi.kpdn.gov.my yang bermula semalam.
“Hal ini hanya untuk pendaftaran sahaja belum lagi melibatkan pelaksanaan SKDS. Bagi syarikat atau entiti yang ingin membuat pendaftaran secara terus, pembukaan kaunter juga dilaksanakan di pejabat KPDN negeri serta cawangan di tiga wilayah terbabit.
“Selain itu KPDN juga akan menyediakan kaunter bergerak untuk pendaftaran berkenaan,” katanya kepada pemberita pada Program Sentuhan Kasih dan Jualan Rahmah MADANI yang turut dihadiri Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor di Perkarangan Parkir Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, di sini, hari ini.
Beliau berkata, penyediaan kaunter bergerak ini juga akan dilaksanakan melalui program turun padang KPDN seperti Program Jualan Rahmah MADANI, program mini karnival serta hari bertemu pelanggan, khususnya untuk syarikat di kawasan luar bandar yang berdepan dengan masalah akses intenet.
Beliau berkata syarat kelayakan pendaftaran SKDS bagi kenderaan pengangkutan darat barangan ialah mempunyai Lesen Kenderaan Bermotor (LKM) yang sah dan aktif sertaperlu berdaftar sebagai kenderaan Perdagangan dengan Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah atau Sarawak.
“Selain itu syarikat, perniagaan, koperasi, perdagangan yang ingin memohon perlu berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), pihak berkuasa tempatan atau Suruhanjaya Koperasi Malaysia ,” katanya.
Di samping itu, syarat kelayakan lain ialah tersenarai dalam 23 kategori kenderaan darat barangan yang diluluskan di bawah SKDS.
Dalam pada itu, Armizan berkata KPDN turut melaksanakan sesi libat urus bersama pelbagai pihak berkepentingan di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan bagi memastikan pelaksanaan pendaftaran SKDS berjalan lancar.
Antara pihak berkepentingan yang terlibat ialah syarikat minyak utama yang beroperasi di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan, termasuk persatuan industri seperti persatuan bas.
Pada 29 April lepas, jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Fahmi Fadzil berkata Kementerian Kewangan sedang meneliti pelaksanaan mekanisme subsidi diesel yang lebih bersasar seumpama BUDI95 di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan. – Bernama