Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • CRM perkukuh ekosistem ujian klinikal Malaysia, AstraZeneca sokong pelaburan penyelidikan
  • NASIONAL

CRM perkukuh ekosistem ujian klinikal Malaysia, AstraZeneca sokong pelaburan penyelidikan

Utusan Sarawak 17 hours ago
CRM perkukuh ekosistem ujian klinikal Malaysia, AstraZeneca sokong pelaburan penyelidikan. Foto hiasan.

KUALA LUMPUR: Clinical Research Malaysia (CRM) akan terus memainkan peranan penting dalam memastikan Malaysia muncul sebagai destinasi utama ujian klinikal dengan bekerjasama rapat bersama pihak pengawal selia, hospital, institusi akademik serta rakan industri bagi meningkatkan kesiapsiagaan dan pelaksanaan kajian.

Dalam satu kenyataan, CRM memaklumkan sejak penubuhannya pada 2021, lebih 2,800 ujian tajaan telah dilaksanakan di seluruh negara dengan sokongan ekosistem bersepadu yang diterajui organisasi itu.

“Pelbagai inisiatif yang menumpukan kepada latihan penyelidik, pembangunan keupayaan tapak kajian serta pengoptimuman proses telah menyumbang kepada pelaksanaan penyelidikan yang lebih kukuh, selain meningkatkan kumpulan profesional penyelidikan klinikal berkemahiran tinggi,” menurut kenyataan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif CRM, Dr Akhmal Yusof berkata, pembinaan ekosistem penyelidikan klinikal yang dipercayai dan berkualiti tinggi memerlukan pelaburan jangka panjang dalam aspek modal insan, sistem serta kerjasama strategik, termasuk pembangunan bakat bagi menyokong ekosistem mampan dan bersedia menghadapi masa depan.

Beliau berkata, peranan CRM turut merangkumi pembangunan saluran tenaga kerja profesional penyelidikan klinikal yang kukuh, termasuk penyelaras kajian, penyelidik serta pasukan penyelidikan, di samping memperkukuh keupayaan hospital di seluruh negara supaya lebih banyak tapak bersedia untuk menjalankan ujian klinikal secara cekap. 

“Nilai tambah Malaysia terletak pada keupayaan melaksanakan ujian klinikal dengan pantas, boleh dipercayai dan berkualiti, manakala peranan negara dalam ASEAN membolehkan kita memacu penyelidikan klinikal tajaan sebagai agenda serantau demi kemakmuran bersama,” katanya.

Menurut CRM, ekosistem penyelidikan klinikal Malaysia menunjukkan pertumbuhan pesat sepanjang tempoh 2020 hingga 2025 dengan mencatatkan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) lima tahun sebanyak 25.06 peratus bagi pendapatan negara kasar terkumpul, 7.45 peratus bagi pekerjaan berkemahiran dalam bidang ini, serta 11.97 peratus bagi penyelidikan tajaan terkumpul.

“Pada 2025, akses pesakit kepada ujian klinikal terus meningkat dengan lebih 300 fasiliti kesihatan di seluruh negara kini mempunyai pengalaman dalam penyelidikan klinikal,” menurut kenyataan itu.

CRM turut memaklumkan Malaysia kini muncul sebagai destinasi pilihan bagi ujian klinikal fasa awal di rantau Asia Pasifik, sekali gus membolehkan penyelidikan berkualiti tinggi yang relevan di peringkat global dilaksanakan mengikut piawaian antarabangsa, termasuk menyokong penyerahan kawal selia kepada Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Amerika Syarikat (FDA) dan Agensi Ubat-Ubatan Eropah (EMA) serta kajian ‘first-in-human’.

Kesiapsiagaan ini disokong oleh tapak kajian yang diakreditasi, rangka kerja kawal selia yang kukuh serta kepelbagaian genetik pesakit, selain infrastruktur mantap, sokongan kerajaan dan kemajuan kawal selia yang memudahkan pelaksanaan penyelidikan global secara efisien. 

Momentum itu turut dizahirkan oleh Hospital Umum Sarawak yang mengukuhkan kedudukannya sebagai pusat ujian onkologi terkemuka dengan kejayaan melaksanakan dua kajian ‘first-in-human’ pada 2025.

Sementara itu, AstraZeneca Malaysia dalam kenyataan sama berkata syarikat itu mencerminkan pendekatan kolaboratif CRM melalui pelaburan berterusan dalam pembangunan keupayaan penyelidikan klinikal tempatan.

“Sejak penubuhan operasi Site Management & Monitoring (SMM) pada 2022, AstraZeneca Malaysia secara konsisten merekodkan jumlah tertinggi penyelidikan tajaan baharu dalam kalangan penaja selama tiga tahun berturut-turut dari 2023 hingga 2025, seperti dilaporkan dalam Laporan Tahunan CRM.

“Disokong pasukan khusus dan rangkaian tapak kajian yang semakin berkembang, AstraZeneca melaksanakan portfolio penyelidikan klinikal yang luas merangkumi pelbagai bidang terapeutik, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkukuh keupayaan pelaksanaan ujian klinikal di Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Presiden AstraZeneca Malaysia, Dr Svetlana Yanchuk berkata, syarikat itu komited melaksanakan ujian klinikal yang beretika, telus dan berpaksikan pesakit, di samping memperluas kehadirannya di Malaysia melalui pelaksanaan kajian fasa awal termasuk ‘first-in-human’. 

“Semua kajian kami dilaksanakan mengikut piawaian saintifik dan kawal selia global yang ketat. Melalui kerjasama rapat dengan institusi kesihatan, penyelidik dan rakan strategik, kami berusaha menyokong perkongsian data ujian klinikal secara bertanggungjawab, komunikasi jelas dengan peserta kajian serta penyelidikan berkualiti tinggi yang memberi sumbangan bermakna kepada landskap penyelidikan klinikal Malaysia,” katanya.

CRM berkata, usaha memperkukuh ekosistem penyelidikan klinikal negara turut diperluas melangkaui pembangunan kapasiti dan pemudah cara pelaburan kepada pengukuhan jaringan kerjasama.

Ini dizahirkan menerusi CRM Trial Connect, platform antarabangsa tahunan yang diperkenalkan sejak 2022 bagi mengetengahkan keupayaan Malaysia dalam ujian klinikal tajaan dan multinasional.

“Melalui pemerkasaan hubungan antara penaja, tapak penyelidikan dan komuniti kesihatan yang lebih luas, platform ini meningkatkan keterlihatan peluang ujian klinikal serta membantu menyelaraskan kajian dengan keperluan pesakit dan sistem kesihatan.

“Bersama kerjasama berterusan merentas industri, usaha ini akan menjadi pemangkin penting dalam mempercepatkan pelaksanaan penyelidikan serta menterjemahkan inovasi kepada akses pesakit yang lebih pantas dan bermakna,” menurut kenyataan itu. – Bernama

Tags: Nasional

Continue Reading

Previous: Pesawat MH8110 mendarat di Muscat susulan isu teknikal, semua jemaah selamat – TH
Next: Ops Tiris 4.0: 504 kes direkodkan, 147 ditahan di seluruh negara

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.