
Miri: Tindakan agresif seorang lelaki melawan anggota polis ketika cuba meloloskan diri dalam Op Pematuhan Motosikal dan Lumba Haram di simpang Jalan Miri Bypass membawa padah apabila dia ditahan awal pagi semalam.
Menurut hantaran Polis Daerah Miri di Facebook hari ini, dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi, suspek berusia 24 tahun yang menunggang motosikal bersama seorang remaja perempuan berusia 16 tahun ditahan untuk pemeriksaan oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Miri.
Bagaimanapun, katanya suspek bertindak ganas dengan menggunakan kekerasan terhadap anggota polis yang menjalankan pemeriksaan sebelum cuba melarikan diri.
“Akibat kejadian itu, seorang anggota polis mengalami kecederaan ringan dan sakit badan sebelum
mendapatkan rawatan di Hospital Miri selepas operasi selesai.
“Pemeriksaan lanjut turut membawa kepada rampasan sebuah motosikal yang diubah suai, kunci serta telefon bimbit milik suspek yang mengandungi video lucah,” menurut hantaran tersebut.
Suspek direman hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam menjalankan tugas serta Seksyen 292 Kanun Keseksaan kerana memiliki bahan lucah.
Jika sabit kesalahan, suspek boleh dipenjara sehingga dua tahun atau didenda atau kedua-duanya bagi Seksyen 353, manakala Seksyen 292 memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Polis turut memanggil saksi awam bagi membantu siasatan dan meminta orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti samseng jalanan kepada IPD Miri di talian 085-432533 atau balai polis berhampiran.
Oleh Liong Chai Ling