
ISKANDAR PUTERI: Malaysia perlu berganjak daripada dilihat sebagai negara dagang kepada negara teknologi dengan menjana inovasi teknologi ciptaan sendiri bagi mengatasi isu gaji rendah di negara ini, kata Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong.
Beliau berkata, langkah meliputi di Johor itu dapat dilaksanakan sekiranya syarikat di negara ini mempunyai lebih banyak inovasi teknologi, sekali gus mewujudkan pekerjaan dengan tawaran gaji yang lebih tinggi kepada rakyat tempatan.
Katanya, anjakan besar membabitkan amalan biasa yang menganggap syarikat Malaysia hanya menyokong keperluan korporat multinasional perlu diubah dengan pemikiran baharu dalam kerajaan.
“Pemikiran baharu dalam kerajaan itu adalah kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan perlu mengambil tanggungjawab bersama untuk mewujudkan syarikat Malaysia sebagai korporat multinasional,” katanya pada sesi perbahasan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Bangunan Sultan Ismail di sini hari ini.
Liew (DAP-Perling) berkata, masalah gaji rendah perlu ditangani kerana ia juga antara punca penghijrahan beratus ribu warga Johor dan Malaysia ke Singapura untuk bekerja sebagai tenaga kerja asing.
Dalam pada itu, Liew mengakui kegigihan kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam membangunkan negeri berkenaan.
Menurutnya, pelbagai kemajuan yang dicapai sepanjang tiga tahun lepas merupakan hasil usaha bersama kerajaan Persekutuan, termasuk menerusi inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang sekali gus menjadikan Johor sebagai tumpuan di rantau ini.
Beliau berkata pada masa yang sama, Johor Bahru perlu dilihat sebagai ibu kota ekonomi kedua selepas Kuala Lumpur, terutamanya dalam konteks peranannya dalam JS-SEZ.
“Ini sekali gus memberikan keyakinan bahawa melalui Greater Johor Bahru sebagai satu daripada penjaga ekonomi, Malaysia dapat menjadi sebuah negara yang lebih berjaya,” katanya.
Greater Johor Bahru merangkumi kawasan bandar raya Johor Bahru, Iskandar Puteri, Pasir Gudang dan Kulai, lokasi yang bakal menjadi destinasi pertumbuhan ekonomi melibatkan projek pembangunan, industri, pelancongan, infrastuktur dan hartanah. – Bernama