
KUALA LUMPUR: Rangkaian pasar raya global, Lulu Hypermarket, menyatakan komitmen untuk membeli dan memasarkan produk halal usahawan Majlis Amanah Rakyat (MARA) bernilai AS$100 juta (kira-kira RM470 juta) bagi pasaran antarabangsa bermula 1 Julai depan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata komitmen tersebut dinyatakan sendiri pemilik rangkaian pasar raya tersebut, Yusuff Ali dalam satu pertemuan bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, minggu lepas.
Justeru, Ahmad Zahid berkata beliau mengarahkan pengurusan tertinggi MARA untuk segera menyelaras produk-produk usahawan bimbingannya bagi memenuhi permintaan pasaran dunia, khususnya di rantau Timur Tengah menerusi rangkaian pasar raya berkenaan.
“Saya menyatakan kepada beliau (Yusuff Ali) di depan Perdana Menteri, jangan lihat kanan, jangan lihat kiri, mesti bekerjasama dengan MARA untuk membeli produk-produk halal ini untuk pasaran dunia.
“Beliau mahu melakukannya mulai 1 Julai tahun ini juga bagi memasarkan produk-produk tersebut,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Ekosistem Halal MARA di sini hari ini. – Bernama