Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • HIBURAN
  • Cuba genre seram, Sarimah cabar bakat lakonan
  • HIBURAN

Cuba genre seram, Sarimah cabar bakat lakonan

Utusan Sarawak 13 hours ago
PELAKON Sarimah Ibrahim.

KUALA LUMPUR: Selepas sekian lama tidak menghiasi layar perak sejak kemunculan terakhir menerusi ‘Gerak Khas The Movie 3’pada 2005, pelakon Sarimah Ibrahim kini kembali mencuri perhatian dengan kemunculan dalam filem seram ‘Pewaris Susuk’.

Sarimah, 48, mengakui watak Seroja yang dimainkannya dalam filem itu menuntut beliau memberikan komitmen emosi yang tinggi, selain perlu mendalami karakter yang sarat dengan unsur misteri. 

Menurutnya, cabaran utama bukan hanya terletak pada aspek lakonan fizikal, tetapi bagaimana mahu mengekalkan lapisan emosi yang tersembunyi agar perjalanan watak itu kekal konsisten dan tidak mudah dijangka penonton.

SARIMAH Ibrahim kini kembali mencuri perhatian dengan kemunculan dalam filem seram ‘Pewaris Susuk’.

“Watak ini memerlukan kawalan emosi yang sangat halus. Banyak perkara yang tidak boleh terlalu dizahirkan, sebaliknya perlu disampaikan secara tersirat,” katanya kepada Bernama pada malam tayangan khas filem tersebut baru-baru ini. 

Bagi pelakon berdarah kacukan Melayu-Irish itu, proses penggambaran filem berkenaan membuka ruang untuknya mencuba pendekatan lakonan baharu, terutama dalam menghidupkan adegan tegang yang menjadi teras genre seram. 

Menurutnya, antara cabaran di set termasuk babak yang menggunakan kesan khas serta situasi apabila perlu berdepan elemen visual seram yang realistik, sekali gus menguji ketahanan emosi dan fokus sepanjang penggambaran.

“Dalam penggambaran ini, banyak juga babak melibatkan kami berada dalam air untuk tempoh lama, adegan merangkak yang cukup mencabar, selain turut melibatkan penggunaan kesan khas yang tidak semuanya dipaparkan kepada penonton.

“Namun bagi saya, cabaran paling besar terletak pada aspek emosi apabila berlakon bersama-sama dengan pelakon lain, iaitu bagaimana untuk menyembunyikan sisi jahat dan sisi baik pada masa yang sama sambil menzahirkan elemen misteri dalam watak yang berlapis dan memerlukan kawalan emosi yang sangat halus,” katanya. 

‘Pewaris Susuk’ yang turut dibintangi Alya Iman dan Datuk Rosyam Nor mengisahkan Maya (Alya Iman) yang cuba memulakan hidup baharu dengan anaknya selepas trauma menyaksikan kematian ibunya, Juriah (Sherie Merlis), akibat satu perjanjian gelap yang belum terungkai.

Namun, kehidupan baharu itu berubah apabila Maya bekerja di sebuah banglo terpencil yang menyimpan sejarah hitam keluarga pemilik banglo tersebut serta dibelenggu gangguan mistik, sekali gus membawa kepada pendedahan rahsia warisan darah yang menuntut korban nyawa. 

Dalam pada itu, Sarimah juga sentiasa terbuka untuk terus mencabar diri dengan pelbagai watak yang lebih kompleks pada masa akan datang, termasuk karakter yang jauh berbeza daripada imejnya sebelum ini.

“Saya memang suka cuba sesuatu yang baharu. Selagi ada ruang untuk belajar dan berkembang, saya akan terus ambil peluang itu,” ujarnya.

Sementara itu, Sarimah yang juga seorang penyanyi, menyifatkan kemunculan semula lagu ‘Kini Kau Tiada’ dalam versi baharu membawa bersama-sama elemen nostalgia yang mendekatkan karya tersebut dengan peminat, khususnya generasi milenial.

“Kadang-kadang benda seperti kartun, makanan atau lagu jadi memori. Lagu itu yang diterbitkan buat pertama kali pada 2001, juga sebahagian daripada nostalgia orang,” katanya. – Bernama

Tags: Hiburan

Continue Reading

Previous: Pelakon veteran Jalil Hamid meninggal dunia
Next: Nabila Huda raih trofi sulung di Anugerah Seni Cameronian Boh Ke-21

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.