
KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi veteran Jalil Hamid meninggal dunia di kediamannya di Shah Alam pada 12.30 tengah hari tadi pada usia 69 tahun.
Anak perempuan Allahyarham, Afiqah Jalil berkata bapanya meninggal dunia dalam tidur.
“Selepas Subuh tadi, ayah sambung tidur semula… lepas itu ayah tiada lagi. Ayah ada masalah jantung bengkak,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Jenazah Allahyarham akan dikebumikan selepas solat Asar di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam.
Jalil atau nama sebenar, Abdul Jalil Abdul Hamid mula aktif dalam industri seni sejak lebih 40 tahun lepas dan dikenali sebagai artis serba boleh termasuk sebagai pelakon komedi selain membintangi filem dan drama yang menyentuh hati peminat seni tanah air.
Antara karya ikonik yang pernah dihasilkan termasuklah lagu Ayam dan Raya serta membintangi filem Baginda dan Zombi Kampung Pisang serta beberapa drama tempatan. – Bernama