Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • GLOBAL
  • Saintis FAO beri amaran penyakit pisang TR4 ancam ladang di seluruh dunia
  • GLOBAL

Saintis FAO beri amaran penyakit pisang TR4 ancam ladang di seluruh dunia

Utusan Sarawak 13 hours ago
KEADAAN pisang yang dijangkiti penyakit kulat Fusarium Wilt TR4. Foto: AGENSI

PHNOM PENH: Saintis makanan antarabangsa memberi amaran mengenai penyakit kulat yang mengancam pokok pisang yang kini menjejaskan tanaman itu di Asia Tenggara dan seluruh dunia.

Penyakit yang selama beberapa dekad belum dapat diatasi itu meletakkan mata pencarian dan keselamatan makanan dalam risiko.

Petani di negara pengeluar pisang utama, iaitu dari Indonesia dan Afrika hingga ke Amerika Selatan, tetap menggeruni penyakit Fusarium Wilt yang boleh menyebabkan pokok mati dan biasanya dikenali sebagai Tropical Race 4 (TR4).

Petani sudah berdepan cuaca buruk yang menjejaskan pengeluaran, selain kos tinggi dan kekurangan bahan api serta baja akibat konflik di Asia Barat. Ancaman tambahan TR4 memburukkan lagi keadaan dan menjejaskan pendapatan mereka.

“Fusarium Wilt TR4 kekal menjadi kebimbangan utama di Asia Tenggara dan di seluruh dunia kerana ia ialah patogen bawaan tanah yang sangat merosakkan, yang boleh kekal di dalam tanah selama beberapa dekad serta tidak dapat dikawal secara berkesan sebaik sahaja ia muncul,” kata Setiausaha Sekretariat Forum Pisang Sedunia, Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO), Victor Prada, kepada Bernama.

“Apabila kulat itu wujud, ia menyebabkan kerugian hasil yang teruk, menjadikan tanah tidak sesuai untuk pengeluaran pisang dalam jangka panjang dan meningkatkan kos pengeluaran dengan ketara disebabkan keperluan langkah pencegahan, biosekuriti dan pembendungan yang ketat. Hal ini menjadikannya ancaman berterusan yang sukar diselesaikan oleh pengeluar pisang di seluruh dunia.”

Para saintis makanan di seluruh dunia telah menjalankan eksperimen selama bertahun-tahun untuk menghapuskan ancaman TR4, namun masih tidak dapat menghentikan patogen itu daripada merebak, yang biasanya menyerang akar pisang.

Varieti pisang, termasuk Cavendish yang popular dalam kalangan petani dan pengguna global serta merupakan varieti utama eksport, turut terdedah kepada kulat tersebut.

Sebagai contoh, Fusarium Wilt, yang juga dikenali sebagai penyakit Panama, telah menghapuskan lebih 15,000 hektar ladang Cavendish di Mindanao, Filipina, pada tahun 2015.

Di rantau ini, Indonesia dan Filipina kekal sebagai pengeluar pisang utama, iaitu buah yang membekalkan nutrisi dan menjadi sumber pendapatan penting bagi jutaan petani desa.

LADANG pisang yang dijangkiti akan dibakar keseluruhan kawasan serta tanaman selingan untuk mengekang penyebaran TR4 akan dijalankan. Foto: AGENSI

Indonesia ialah pengeluar pisang ketiga terbesar dunia dengan kira-kira sembilan juta tan metrik setahun. India ialah pengeluar terbesar dunia dengan kira-kira 38 juta tan metrik, diikuti oleh China dengan 12 juta tan metrik.

Bagaimanapun, ancaman TR4 terus menghantui jutaan petani di Asia Tenggara, isu ini bukan sahaja melibatkan risiko terhadap pekerjaan luar bandar, malah berpotensi menjejaskan ekonomi.

“TR4 kekal sebagai cabaran utama bagi petani kami kerana tiada penyelesaian tuntas. Apabila kulat berada di dalam tanah, ia sukar dihapuskan atau dikawal daripada merebak.

“Sekiranya ladang pisang dijangkiti, kami perlu meninggalkan atau membakar keseluruhan kawasan. Kami juga melaksanakan tanaman selingan untuk mengekang penyebaran TR4 dengan menanam kopi dan koko,” kata Pengerusi Koperasi Peladang Green Makmur, Sigit Wicaksono, kepada Bernama dari Lampung, Indonesia.

Provinsi Lampung merupakan pengeluar pisang utama di Indonesia.

Prada turut memberi amaran: “Penyebaran TR4 merentasi wilayah yang berbeza menimbulkan ancaman besar terhadap keselamatan makanan dan mata pencarian kerana pisang ialah makanan ruji dan sumber pendapatan utama bagi jutaan orang. Penyakit ini boleh menyebabkan kehilangan hasil yang teruk serta ketidakproduktifan tanah dalam jangka panjang.”

Jumlah eksport pisang global mencecah 25 juta tan metrik tahun lalu, dengan nilai kira-kira AS$17 bilion (RM67 bilion).

Penyelidik bagaimanapun masih belum berputus asa.

Para saintis China telah membangunkan varieti tahan penyakit, Zhongre No. 1, yang dilaporkan sebagai satu kejayaan penting.

“Varieti berpotensi seperti Zhongre No. 1 ialah langkah penting ke hadapan, namun bukan penyelesaian menyeluruh kerana ia tidak kebal sepenuhnya dan masih boleh dijangkiti serta menyebarkan patogen,” kata Matheus Lima, jurutera pertanian dan pakar kelestarian di Sekretariat Forum Pisang Sedunia, kepada Bernama.

Pekebun kecil terus berdepan cabaran daripada kekangan sumber, tahap kesedaran serta akses kepada kepakaran teknikal untuk mengenal pasti penyakit itu pada peringkat awal, katanya.

“Oleh itu, pencegahan dan pengurusan TR4 yang berkesan memerlukan usaha kolektif dan berterusan merentas kerajaan, industri dan petani, dengan penyelarasan lebih kukuh sepanjang rantaian nilai serta pembinaan kapasiti yang berterusan dan praktikal di semua peringkat,” kata Matheus. – Bernama

Tags: Global

Continue Reading

Previous: Pertamina Indonesia naikkan harga bahan api tanpa subsidi, kekalkan harga bersubsidi
Next: Lapan maut dalam runtuhan lombong arang batu di Rusia

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.