
BINTULU: Pasar Gawai Dayak Bintulu kembali dianjurkan bermula Jumaat lalu hingga 18 Mei di Naim Street Mall, Paragon Bintulu dengan pelbagai pengisian yang menonjolkan kebudayaan masyarakat Dayak serta membuka ruang kepada pembangunan ekonomi komuniti setempat.
Menurut penganjur, program yang berlangsung hampir tiga minggu itu diadakan setiap hari dari 8.00 pagi hingga 11.00 malam dengan penglibatan pelbagai pihak termasuk tiga persatuan Dayak yang bergabung tenaga bagi menjayakan penganjuran tahun ini iaitu Persatuan Pembangunan Dayak Bintulu (BANGUN), Dayak Bukit Kelingkang (DBK) dan Persatuan Kebajikan Terabai Menua Pampang Bintulu (TM).
Antara pengisian utama termasuk persembahan artis tempatan dari Bintulu dan luar kawasan yang dijadualkan pada tarikh tertentu, selain persembahan kebudayaan yang menampilkan seni serta warisan masyarakat Dayak. Aktiviti sampingan seperti zumba turut diadakan pada Sabtu, 9 Mei bagi memeriahkan suasana.

Menurut penganjur, penganjuran pasar Gawai Dayak ini bukan sahaja bertujuan meraikan sambutan Gawai, tetapi juga memberi peluang kepada masyarakat Dayak khususnya golongan belia untuk menceburi bidang perniagaan serta menimba pengalaman secara langsung.
Tambahnya, program berkenaan turut menjadi platform memperkenalkan produk tempatan dan budaya Dayak kepada masyarakat lebih luas termasuk golongan Muslim, sekali gus memupuk semangat perpaduan serta saling menghormati antara kaum.
“Konsepnya seperti bazar sebelum perayaan, di mana ia memberi ruang kepada peniaga mencari pendapatan sambil memeriahkan sambutan Gawai,” kata penganjur.
Penganjur turut menyifatkan program itu sebagai usaha jangka panjang memperkukuh ekonomi komuniti Dayak melalui penglibatan aktif dalam bidang keusahawanan.
“Kami mahu melihat lebih ramai belia Dayak berani mencuba bidang perniagaan dan menggunakan peluang ini sebagai pengalaman awal untuk berkembang pada masa akan datang,” katanya.
Mereka berharap pasar Gawai Dayak ini dapat diteruskan sebagai acara tahunan yang bukan sahaja meriah, malah memberi impak kepada ekonomi tempatan, perpaduan masyarakat serta penyertaan pelbagai kaum.
Lebih 20 gerai disediakan untuk peniaga termasuk 11 gerai makanan tradisional Dayak serta beberapa gerai kraftangan. Penganjur turut memaklumkan terdapat satu gerai makanan yang menawarkan pilihan halal bagi pengunjung Muslim, dengan harapan lebih banyak penyertaan halal dapat diperkenalkan pada masa akan datang.


Dalam pada itu, aktiviti karaoke turut disediakan kepada pengunjung dengan bayaran RM3 bagi setiap lagu dan beroperasi sepanjang tempoh program.
Orang ramai di sekitar Bintulu dan kawasan berhampiran turut dijemput hadir bagi memeriahkan program tersebut serta menikmati persembahan budaya, makanan tradisional dan pelbagai aktiviti yang disediakan.
Setakat hari ketiga penganjuran, kebanyakan gerai telah mula beroperasi, namun masih terdapat beberapa peniaga tidak dapat hadir kerana komitmen lain di luar kawasan.
Penganjur berharap program ini akan terus mendapat sambutan dan diperluaskan pada masa akan datang dengan pengisian serta penyertaan yang lebih menyeluruh.
Oleh Faizah Muzidi