Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUMNIS
  • Di udara, hanya ada satu bahasa digunakan
  • KOLUMNIS

Di udara, hanya ada satu bahasa digunakan

Utusan Sarawak 9 hours ago

RIBUAN pesawat bergerak ‘bebas’ di udara pada satu-satu masa. Masing-masing menuju destinasi tersendiri sama ada membawa penumpang atau kargo, terbang dalam jarak yang dekat atau merentasi sempadan negara tanpa khuatir risiko pertembungan antara satu sama lain.

Hal ini tentu sukar berlaku sekiranya tiada sistem yang menyusun dan menyelaras pergerakan yang besar ini secara global. Keteraturan ini memberikan jaminan keselamatan dan ketenangan kepada jutaan penumpang dalam setiap penerbangan di seluruh dunia.

Disiplin operasi ini bukanlah wujud dengan tiba-tiba. Malah ia melalui proses yang panjang dan kini boleh dikatakan sudah berada di tahap kematangan, apabila setiap urusan penerbangan dapat dilakukan dalam keadaan tersusun dan konsisten.

Ketertiban luar biasa yang kita nikmati hari ini berakar umbi daripada keperluan mendesak yang timbul selepas tamatnya Perang Dunia Kedua. Sebelum era tersebut, penerbangan antarabangsa adalah sesuatu yang berisiko tinggi dan tidak mempunyai standard seragam.

Titik utama yang menuntut kewujudan satu organisasi penyelaras adalah perkembangan teknologi pesawat yang terlalu pantas berbanding undang-undang sedia ada. Negara-negara mula menyedari bahawa tanpa satu kata sepakat, ruang udara akan menjadi medan konflik kedaulatan dan teknikal.

ILLUSTRASI Tanpa IATA, industri ini akan berpecah kepada ribuan entiti kecil yang tidak mampu berkomunikasi antara satu sama lain, manakala tanpa ICAO, sistem keselamatan udara dunia akan menjadi kucar-kacir tanpa undang-undang yang diiktiraf secara global.

Justeru, pada 7 Disember 1944, wakil 52 negara telah berkumpul di Chicago untuk menandatangani Konvensyen Penerbangan Awam Antarabangsa.

Perjanjian ini merupakan asas kepada penubuhan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) yang secara rasminya menjadi agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 1947.

Hampir serentak dengan itu, pihak industri pula menyedari bahawa aspek perniagaan dan operasi syarikat penerbangan juga memerlukan penyelarasan.

Maka, pada April 1945 di Havana, Cuba, Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) telah ditubuhkan.

Keperluan utama IATA diwujudkan adalah untuk mengelakkan persaingan yang tidak sihat serta memastikan syarikat penerbangan dapat bekerjasama dalam aspek komersial seperti pertukaran tiket dan penyelarasan laluan.

Tanpa IATA, industri ini akan berpecah kepada ribuan entiti kecil yang tidak mampu berkomunikasi antara satu sama lain, manakala tanpa ICAO, sistem keselamatan udara dunia akan menjadi kucar-kacir tanpa undang-undang yang diiktiraf secara global.

ICAO hari ini mempunyai keahlian dari 193 negara anggota. Ahli-ahlinya terdiri daripada kerajaan atau negara berdaulat. Hal ini kerana ICAO ialah badan yang menetapkan dasar dan perundangan.

IATA pula merupakan persatuan perdagangan yang dianggotai lebih 300 syarikat penerbangan dari seluruh pelosok dunia. Jika ICAO mewakili suara kerajaan seperti Malaysia, IATA pula mewakili suara syarikat penerbangan seperti Malaysia Airlines, AirAsia atau AirBorneo.

Kedua-dua organisasi ini bekerjasama dalam satu ekosistem simbiotik iaitu ICAO membina ‘padang permainan’ yang selamat, manakala IATA memastikan para ‘pemain’ dapat menjalankan perlawanan dengan efisien dan menguntungkan.

Kandungan utama yang dibangunkan oleh ICAO ialah 19 Annex kepada Konvensyen Chicago. Setiap Annex berfungsi sebagai rujukan induk bagi dunia penerbangan, merangkumi aspek operasi, keselamatan, navigasi, infrastruktur dan pengurusan ruang udara.

Ia mengandungi Piawaian dan Amalan Syor (SARPs) yang bersifat sangat teknikal dan menjadi asas kepada penyelarasan global industri penerbangan.

APABILA anda mendengar juruterbang berkomunikasi dengan menara kawalan menggunakan frasa seperti “Cleared for takeoff”, itu ialah standard ICAO untuk mengelakkan kekeliruan bahasa.

Setiap negara anggota perlu mengguna pakai piawaian ini dalam undang-undang domestik masing-masing atau memaklumkan kepada ICAO jika terdapat perbezaan pelaksanaan.

Selain itu, setiap anggota juga turut digalakkan untuk mengikuti amalan yang disyorkan bagi meningkatkan kecekapan dan keseragaman.

Sebagai contoh, Annex 1 menguruskan pelesenan kakitangan bagi memastikan setiap juruterbang dan jurutera penyelenggaraan mempunyai tahap ilmu dan kemahiran yang seragam.

Annex ini menetapkan piawaian wajib seperti syarat latihan dan peperiksaan, manakala amalan syornya membantu negara menambah baik kaedah latihan melalui penggunaan simulator dan modul keselamatan tambahan.

Dalam Annex 2 pula menetapkan peraturan udara yang menjadi asas kepada disiplin pergerakan pesawat. Piawaiannya menentukan keutamaan laluan dan tingkah laku operasi yang mesti dipatuhi, sementara amalan syor memberi panduan tambahan seperti penggunaan frasaologi radio yang lebih jelas bagi mengurangkan kekeliruan komunikasi.

Sementara itu, Annex 14 menetapkan spesifikasi teknikal lapangan terbang, termasuk kecerahan lampu landasan dan standard turapan yang perlu dipenuhi untuk menjamin keselamatan operasi.

Amalan syornya pula merangkumi aspek sokongan seperti pengurusan kawasan sekitar lapangan terbang bagi mengurangkan risiko hidupan liar dan memastikan operasi mendarat serta berlepas lebih konsisten.

IATA pula memegang kandungan bersifat operasi dan komersial seperti manual pengendalian barangan berbahaya, sistem kod tiga huruf untuk lapangan terbang seperti KUL atau KCH dan prosedur pengurusan bagasi serta kargo yang sistematik.

ICAO beroperasi melalui proses ratifikasi. Walaupun ICAO menetapkan piawaian, mereka tidak mempunyai kuasa undang-undang untuk menceroboh kedaulatan sesebuah negara. Sebaliknya, setiap negara anggota wajib menyerap piawaian ICAO ke dalam undang-undang domestik mereka.

Di Malaysia, tanggungjawab ini digalas oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Kementerian Pengangkutan. Jika ICAO menukar satu peraturan keselamatan, CAAM akan meminda peraturan tempatan untuk mematuhinya.

IATA pula beroperasi dengan menyediakan platform kewangan dan teknikal global. Contohnya, melalui sistem Pelan Pengebilan dan Penyelesaian (BSP), IATA memudahkan ejen pelancongan di sesebuah negara menjual tiket daripada pelbagai syarikat penerbangan antarabangsa dan menyelesaikannya melalui satu pusat pungutan wang yang teratur.

Secara mudahnya, ICAO menetapkan piawaian asas yang memastikan setiap aspek operasi penerbangan di seluruh dunia mengikuti peraturan yang sama. Mereka menentukan spesifikasi teknikal, format komunikasi, prosedur operasi dan keperluan keselamatan yang perlu dipatuhi oleh semua negara anggota.

Tanpa penyelarasan ini, setiap negara mungkin menggunakan sistem dan peraturan yang berbeza, sekali gus mewujudkan kekeliruan dan meningkatkan risiko kemalangan apabila pesawat merentasi sempadan.

Peranan ICAO ialah memastikan ruang udara global kekal selamat dan boleh digunakan oleh sesiapa sahaja tanpa mengira negara asal.

IATA pula memberi tumpuan kepada aspek komersial dan operasi yang melibatkan syarikat penerbangan serta penumpang. Mereka menyelaras sistem tiket supaya perjalanan yang melibatkan beberapa syarikat penerbangan dapat diuruskan melalui satu platform yang seragam.

IATA juga menetapkan kod destinasi dan kod bagasi yang digunakan di seluruh dunia bagi memastikan setiap beg dihantar ke lokasi betul dan tidak hilang ketika dipindahkan antara pesawat.

Selain itu, mereka membangunkan proses operasi seperti daftar masuk, pengendalian bagasi dan penyelarasan jadual bagi memastikan pengalaman perjalanan lebih lancar dan konsisten.

Secara ringkasnya, ICAO menetapkan keselamatan dan peraturan asas penerbangan global, manakala IATA memastikan kelancaran perkhidmatan, keseragaman operasi dan urusan perniagaan dalam industri penerbangan.

Sinergi antara kedua-dua organisasi ini adalah kunci mengapa anda boleh duduk di dalam kabin pesawat dengan tenang. Apabila anda mendengar juruterbang berkomunikasi dengan menara kawalan menggunakan frasa seperti “Cleared for takeoff”, itu ialah standard ICAO untuk mengelakkan kekeliruan bahasa.

Apabila anda melihat label pada bagasi anda dengan kod “KUL”, itu pula merupakan standard IATA yang memastikan beg itu sampai ke Kuala Lumpur dan bukannya ke tempat lain.

Kedua-dua organisasi ini memastikan bahawa walaupun dunia mempunyai ribuan bahasa dan budaya yang berbeza, di udara hanya ada satu bahasa yang digunakan iaitu bahasa keselamatan dan keseragaman.

Kematangan sistem ini juga membolehkan inovasi berlaku tanpa menjejaskan keselamatan. Apabila ICAO memperkenalkan inisiatif hijau untuk mengurangkan pelepasan karbon contohnya, IATA akan bekerjasama dengan syarikat penerbangan untuk mencari jalan praktikal bagi melaksanakan teknologi bahan api mampan.

Perkara ini menunjukkan bahawa peranan mereka bukan sekadar statik di atas kertas, tetapi dinamik mengikut peredaran zaman. Cabaran seperti pandemik global atau ancaman keselamatan siber ditangani secara bersama untuk memastikan kepercayaan orang awam terhadap mod pengangkutan ini tidak pernah goyah.

Kewujudan ICAO dan IATA adalah bukti kejayaan diplomasi antarabangsa yang paling berkesan dalam sejarah manusia.

Walaupun negara-negara mungkin berselisih faham dalam aspek politik atau ekonomi, mereka tetap bersatu di bawah bumbung ICAO demi memastikan langit kekal selamat.

Setiap kali sebuah pesawat mendarat dengan selamat, di belakangnya terdapat ribuan pakar, ribuan muka surat peraturan dan kerjasama erat antara kerajaan serta industri yang telah diusahakan sejak 1944.

Tanpa struktur ini, impian untuk menghubungkan dunia melalui awan tidak mungkin akan menjadi realiti yang semudah hari ini. Kita terbang bukan hanya di atas sayap pesawat, tetapi di atas sebuah sistem global yang sangat utuh dan teratur.

  • Penulis memiliki Sarjana Muda Kejuruteraan (Mekanikal-Aeronautik) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan pernah berkhidmat di Hornbill Skyways Sdn Bhd.
Tags: Mohamad Fadillah Sabali

Continue Reading

Previous: Krisis Asia Barat, Malaysia terkesan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.