Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • GLOBAL
  • Kawalan ketat jejas penjaja, budaya makanan jalanan Bangkok terancam
  • GLOBAL

Kawalan ketat jejas penjaja, budaya makanan jalanan Bangkok terancam

Utusan Sarawak 10 hours ago
MENURUT data Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA), jumlah penjaja bergerak di bandar itu telah menurun lebih 60 peratus sejak 2022, dengan kira-kira 10,000 penjaja tidak lagi berniaga di jalanan. Foto: AFP

BANGKOK, Thailand: Di seluruh Bangkok, aroma bawang putih, cili dan daging panggang dari gerai serta kereta tolak di tepi jalan terus menjadi sebahagian daripada identiti ibu negara Thailand itu.

Namun, kawalan yang semakin ketat terhadap penjaja kini mengancam sumber rezeki mereka serta budaya makanan jalanan yang menjadi tarikan utama bandar berkenaan.

Makanan jalanan Bangkok yang mudah didapati, berperisa dan popular dalam kalangan penduduk tempatan serta pelancong menjadikan kaki lima bandar itu sebagai dapur terbuka, dengan aktiviti jual beli berlangsung dari pagi hingga lewat malam. Ia turut menjadi daya tarikan utama pelancongan Thailand.

Bagaimanapun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kerajaan Bangkok giat melaksanakan langkah membersihkan laluan pejalan kaki, memperkemas susunan serta memindahkan penjaja dari kawasan komersial utama ke lokasi yang ditetapkan bagi tujuan pengurusan bandar dan keselesaan awam.

Menurut data Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA), jumlah penjaja bergerak di bandar itu telah menurun lebih 60 peratus sejak 2022, dengan kira-kira 10,000 penjaja tidak lagi berniaga di jalanan.

Sebahagian telah berpindah ke pusat penjaja baharu, namun ramai yang lain terpaksa menutup perniagaan akibat peraturan lebih ketat atau kerana tidak lagi berdaya saing.

Seorang penjaja, Looknam Sinwirakit, berkata mereka terpaksa mengambil risiko berniaga secara tidak sah demi kelangsungan hidup, walaupun berdepan kemungkinan dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa.

Sementara itu, penjual durian, Wong Jaidee, bimbang akan dipindahkan tanpa sebarang pelan alternatif, memandangkan kos hidup di Bangkok yang semakin tinggi.

Pihak berkuasa bandar memaklumkan mereka memberi tempoh kepada penjaja untuk berpindah serta menggalakkan operasi di pusat penjaja yang disediakan, termasuk lokasi baharu berhampiran Taman Lumphini.

Sebahagian penjaja yang berpindah turut melaporkan keadaan perniagaan yang lebih baik dari segi kemudahan dan persekitaran.

Namun, bagi sesetengah penjaja yang telah berdekad lama berniaga di lokasi asal, perpindahan dilihat sebagai satu cabaran besar kerana ia melibatkan kehilangan pelanggan tetap dan perubahan sumber pendapatan.

Dalam pada itu, makanan jalanan kekal menjadi sebahagian penting pengalaman pelancong di Bangkok, dengan hidangan seperti Pad Thai terus menjadi pilihan popular dan dianggap sebagai sebahagian daripada budaya unik bandar berkenaan. – AFP

Tags: Global

Continue Reading

Previous: Hujan abu di Gunung Berapi Mayon, polis Filipina kerah anggota, sumber
Next: Lima maut kereta terjunam ke dalam sungai di Bolivia

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.