
MUKAH: Sharvel Iris Sebastian Umat, 22, dari Mukah dinobatkan sebagai juara pertandingan Teluwaih Jinih (Ratu Cantik Tradisional) 2026 yang berlangsung di Pentas Utama Kaul, Pantai Kala Dana di sini, semalam.
Beliau menewaskan 11 peserta lain sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 berserta piala. Sharvel turut mencuri tumpuan apabila memenangi kategori Teluwaih Jinih Photogenic 2026.
Naib juara dimenangi Rohadatul Arissa Abdullah yang membawa pulang RM2,000 selain meraih anugerah Miss Charity dan Best Catwalk.

Tempat ketiga menjadi milik Nurul Dhabitah Sebli @ Ramlee dengan hadiah RM1,000 serta anugerah Miss Favourite. Kedua-dua pemenang turut menerima mahkota, selempang dan jambangan bunga.
Sementara itu, anugerah Tatarias Terbaik dimenangi Nuraisha Irdina Zulkirnain.
Pertandingan Teluwaih Jinih yang bermaksud ‘wanita cantik’ dalam bahasa Melanau merupakan acara tahunan sejak 2008 sempena Pesta Kaul Mukah dan menjadi antara pengisian utama festival tersebut.
Ia bertujuan mempromosikan budaya serta warisan masyarakat Melanau, khususnya dalam memperagakan busana tradisional dan kontemporari di samping menjadi platform kepada peserta menonjolkan bakat dalam bidang peragaan dan komunikasi.
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kesihatan merangkap Ahli Parlimen Mukah, Hanifah Hajar Taib.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi; ADUN Tellian, Royston Valentine serta Pengerusi Persekutuan Persatuan Melanau Sarawak, Muhammad Leo Michael Toyad Abdullah.
Oleh Tarani Lanting