
KUCHING: Perancangan pembinaan litar lumba di Gedong dilihat sebagai sebahagian daripada pembangunan ekosistem permotoran yang lebih menyeluruh, namun pelaksanaannya ketika ini masih bergantung kepada proses penzonan dan pewartaan tanah yang sedang berjalan.
Presiden Persatuan Permotoran Sarawak, Datuk Ahmad Ibrahim berkata, kawasan yang dikenal pasti di Gedong Isthmus kini masih dalam penelitian pihak Jabatan Tanah dan Survei sebelum sebarang pembangunan dapat dimulakan.

Menurutnya, proses penzonan tanah merupakan langkah asas yang perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum kerajaan memutuskan hala tuju pembangunan termasuk pembinaan litar lumba tersebut.
“Status sekarang masih di peringkat penzonan tanah. Kita perlu tunggu sehingga proses ini selesai dan diwartakan sebelum dipanggil untuk perancangan seterusnya.

“Apabila penzonan siap, barulah pihak berkaitan seperti pejabat Premier atau kementerian akan menentukan pelan pembangunan termasuk reka bentuk litar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian program Torque of Borneo 2026 di sini, hari ini.
Ahmad menjelaskan, pembinaan litar lumba tersebut bukanlah keutamaan tunggal, sebaliknya merupakan fasa akhir dalam pelan pembangunan lebih besar yang melibatkan pelbagai komponen lain.

Katanya, kawasan berkenaan turut dirancang menempatkan pembangunan industri permotoran, institusi latihan atau akademi serta kemudahan sokongan lain bagi membentuk satu ekosistem lengkap.
“Ia bukan hanya tentang litar. Kita bercakap mengenai keseluruhan ekosistem termasuk industri, akademi dan kemudahan lain. Litar hanyalah sebahagian kecil daripada perancangan besar ini.
“Sebab itu kita perlu beri ruang kepada proses perancangan kerana banyak pihak terlibat dan setiap komponen mempunyai keutamaan tersendiri,” jelasnya.
Tambah beliau, berdasarkan perkembangan semasa, projek tersebut dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya dua tahun sebelum memasuki fasa pembinaan sebenar.
“Sekurang-kurangnya dua tahun. Selepas penzonan selesai, peringkat reka bentuk litar boleh dilaksanakan dengan lebih cepat, tetapi kita masih perlu menunggu keputusan pihak berkuasa,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan pihaknya merancang mengadakan pertemuan dengan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah dalam tempoh dua bulan akan datang bagi mendapatkan hala tuju lanjut.
Mengulas reaksi masyarakat yang mempersoalkan perkembangan projek tersebut, Ahmad mengakui terdapat pelbagai pandangan terutama di media sosial, namun menegaskan pembangunan berskala besar memerlukan penelitian rapi.
“Memang ada yang tertanya-tanya dan membangkitkan isu ini, tetapi hakikatnya projek ini melibatkan kawasan luas dan perlu melalui proses perancangan yang teliti.
“Kita juga perlu mengambil kira pelbagai aspek termasuk penggunaan tanah dan pembangunan keseluruhan kawasan,” katanya.
Sebelum ini, kerajaan Sarawak merancang membina litar lumba di atas kawasan seluas 242 hektar di Gedong Isthmus dengan anggaran kos sekitar RM200 juta.
Dalam pada itu, Ahmad turut memaklumkan usaha sedang dijalankan bagi menyediakan fasiliti permotoran lain sebagai langkah sementara.
Katanya, cadangan pembangunan litar drift dan drag di Balai Ringin kini dalam peringkat perancangan dan dijangka dapat dimuktamadkan lebih awal berbanding projek di Gedong.
“Untuk sementara waktu, kita masih boleh menyesuaikan beberapa lokasi bagi aktiviti drift dan drag, tetapi untuk litar penuh bertaraf antarabangsa, kita masih belum ada.
“Sebab itu projek di Gedong ini penting dalam jangka masa panjang,” ujarnya.
Terdahulu, program Torque of Borneo 2026 yang berlangsung selama tiga hari di pekarangan Majlis Bandaraya Kuching Selatan berjaya menarik ratusan peminat sukan permotoran dari seluruh Sarawak.
Ahmad berharap program seumpama itu dapat diperluaskan pada masa hadapan bagi memperkukuh pembangunan industri permotoran di negeri ini.
Oleh Shahrul Qaizat