
BAU: Seorang pendaki lelaki terpaksa dibawa turun oleh pasukan penyelamat selepas mengalami kekejangan kaki dan muntah ketika mendaki Gunung Singai, di sini pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan panggilan kecemasan diterima pada 10.42 pagi sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bau digerakkan ke lokasi.
Mangsa dilaporkan tidak dapat meneruskan pendakian selepas mengalami kekejangan kaki serta muntah berulang kali sehingga menyebabkan keadaan lemah dan dehidrasi.
Ketika kejadian, pendaki tersebut berada berhampiran puncak Gunung Singai bersama kakaknya serta dua rakan lain.
Pasukan bomba bertindak menaiki gunung dengan membawa peralatan menyelamat termasuk basket stretcher, prusik, personnel line, karabiner dan webbing bagi operasi membawa turun mangsa.

Mangsa kemudiannya dibawa turun menggunakan pengusung dengan bantuan anggota bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta pendaki lain sehingga selamat tiba di kaki gunung.
Seterusnya, mangsa dihantar ke Hospital Bau menggunakan unit Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Operasi melibatkan enam anggota bomba bersama sebuah jentera EMRS dan sebuah kenderaan pacuan empat roda.
Turut membantu di lokasi ialah anggota APM, dua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta lima pendaki dari Pusat Latihan Polis (Pulapol).
Oleh Norman Ebenezer