BETONG: Kawasan Betong berpotensi tinggi untuk dimajukan dalam sektor pertanian kerana mempunyai hasil tani yang pelbagai.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar, Gerald Rentap Jabu, memberitahu bidang pertanian menjadi salah satu visi penting di bawah kepimpinan Kerajaan Sarawak.
“Kawasan kita di Betong juga termasuk di dalam kawasan dikenali sebagai ‘Food Basket’ (bakul makanan) oleh kerajaan yang disasarkan untuk membekalkan makanan dari hasil pertanian seperti sayur-sayuran dan buah-buahan. Ia harus diusahakan secara komersil.
“Produk seperti ini mempunyai permintaan tinggi dari negara luar seperti Singapura ataupun Brunei. Ini adalah perancangan Kerajaan GPS untuk meningkatkan pendapatan penduduk di luar bandar,” katanya.
Beliau berkata, demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Agriculture Community Outreach Programme (AgriCOP) Bahagian Betong di Rumah Jack Braoh, Pais, Skrang kelmarin.
Sehubungan itu, Rentap menggesa para petani di situ untuk mengusahakan tanaman secara lebih komersil dengan mengamalkan teknik seperti fertigasi bagi memenuhi pasaran di negeri ini.
Dalam majlis tersebut, Gerald turut mengumumkan peruntukan RM5,000 daripada Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas untuk Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pais, serta RM3,000 dari pihaknya untuk Biro Wanita Pais Skrang.
Turut hadir ialah wakil Residen Bahagian Betong, Kato Dorsie, Pegawai Pertanian Pembangunan dari Jabatan Pertanian Sarawak Bahagian Betong, Nor Armiza Nawai Muhammad Jasri dan Penguasa Jabatan Pertanian Daerah Betong, Wau Andol.
Oleh ADI SAFARMAN