PADAWAN: Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) Sarawak akan diadakan tahun hadapan, tegas Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
Menurutnya, Kerajaan Sarawak telah merancang untuk mengadakan PRN-12 lebih awal namun ekoran pandemik Covid-19, ia terpaksa ditangguhkan.
“PRN-12 sepatutnya telahpun diadakan tetapi kesihatan rakyat lebih diutamakan.
“Yang sebenarnya perancangan (pilihan raya) kita ialah awal lagi, tetapi disebabkan pandemik Covid-19 dan demi rakyat ia ditangguhkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sambutan Majlis Ulang Tahun ke-24 Majlis Perbandaran Padawan (MPP) dan Pelancaran Mural The Last Ring Ladies di Perkarangan Tempat Letak Kereta, Bangunan Lama Giant Supermarket, Batu 10 di sini, semalam.
Ujarnya lagi, setelah ditangguhkan, maka PRN-12 akan diadakan pada tahun 2021.
“Bila, saya tidak tahu, sekarang dah Disember, jadi ia akan diadakan pada tahun hadapan,” ujar Abang Johari yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Ditanya pemberita sama ada PRN-12 akan diadakan pada Februari atau Mac 2021, Abang Johari sekadar menjawab ‘saya tidak tahu’.
Sementara itu, katanya, tiada keperluan bagi GPS untuk menubuhkan gabungan bersama Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN).
Katanya, isu tersebut telahpun dijawab oleh Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah (Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu).
“Datuk Karim sudah menjawab dan itulah keputusan kita. Tiada keperluan,” tegasnya.
Oleh NUR AIN OTSMAN