
TAMAT LATIHAN... Peserta merakam gambar kenangan sebaik acara berakhir yang dirasmikan oleh ASP Kevin di IPD Lawas.
LAWAS: Seramai 48 peserta telah menyertai Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) berkaitan isyarat tangan dan pengeluaran saman trafik, bertujuan memberi pendedahan kepada teknik pengeluaran saman trafik yang betul serta kemahiran penggunaan isyarat tangan bagi mengawal lalu lintas.
Menurut Ketua Cawangan Khas Daerah (KCKD) Lawas ASP Kevin Nuyau, pentingnya penguasaan kemahiran isyarat tangan dan prosedur pengeluaran saman trafik dalam memastikan kelancaran serta keselamatan pengguna jalan raya.

CARA SAMAN… Sarjan Hasbie ketika memberi ceramah tatacara mengeluarkan saman trafik.
“Latihan seumpama ini dapat meningkatkan tahap kompetensi anggota dalam melaksanakan tugas penguatkuasaan dengan lebih berkesan dan berdisiplin, di samping memperkukuh pemahaman terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya pada majlis penutupan program tersebut di Dewan Serbaguna dan pekarangan Astaka Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lawas, pagi tadi.

Program yang bermula seawal 8.00 pagi itu melibatkan keanggotaan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Polis Bantuan Sarawak Energy Berhad (Cawangan Lawas), Angkatan Sukarelawan Rakyat Malaysia (RELA) serta pengawal keselamatan sekolah.
Latihan tersebut diselaras oleh Insp. Mohd Syamsul Samsuddin, manakala sesi ceramah disampaikan oleh Sjn Mohd Hasbie Samion dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lawas.

BERI PERHATIAN… Sebahagian peserta kursus daripada anggota RELA dan pengawal keselamatan Sekolah memberi perhatian pada ceramah.
Inspektor Mohd.Syamsul memberitahu keseluruhan, program ini dilihat berjaya mencapai objektifnya apabila semua peserta dapat meningkatkan pengetahuan serta kemahiran dalam aspek kawalan trafik.
Bagi mengukuhkan pemahaman, satu pertandingan isyarat tangan trafik turut dianjurkan.
Pendekatan praktikal dan pertandingan yang dijalankan turut membantu peserta memahami dengan lebih jelas aplikasi sebenar di lapangan.
Oleh Adeng Edrus