PADANG BESAR: Kerjasama strategik antara Perpustakaan Desa dengan Pusat Sumber Sekolah mampu menjadikan projek rintis Book2U yang membawakan konsep trak bergerak dengan menyediakan pelbagai bahan bacaan sama ada berbentuk ilmiah dan santai, satu realiti.
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah usaha yang dilakukan pihak Perpustakaan Awam Negeri Perlis (PPANPs) diharap dapat meningkatkan potensi masyarakat melalui program keilmuan yang diadakan dari semasa ke semasa.
“Menerusi usaha ini dapat dilihat bahawa kadar pinjaman buku di perpustakaan telah meningkat, peserta daripada golongan berpendapatan sederhana B40 juga mendapat bekalan bahan bacaan setiap dua minggu dan pusat sumber sekolah dapat meningkatkan lagi jaringan serta kerjasama antara agensi,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada majlis perasmian Perpustakaan Desa, Batu Bertangkup, Taman Desa Asnaf MAIPs dan Pelancaran Book2U, Perpustakaan Awam Negeri Perlis. Berangkat sama pada majlis itu, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Titah baginda berbanding sektor lain, perpustakaan dilihat kurang terjejas akibat wabak Covid-19 bahkan terus aktif dalam membudayakan aktiviti membaca.
Baginda bertitah projek ini dapat diperluaskan lagi ke seluruh sekolah di Perlis dan menjadi satu produk ’trademark’ bagi negeri ini kelak selain kajian keberkesanan perlulah dilaksanakan bagi memastikan projek ini ditambah baik pada masa hadapan.
Program Book2U adalah hasil daripada percambahan idea Jawatankuasa Pembangunan Perpustakaan Desa Perlis dan PPANPs dalam memastikan perpustakaan awam terus relevan kepada masyarakat.
— Bernama