

LIMBANG: Dua lelaki tempatan dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan, manakala seorang wanita dipenjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam selepas mengaku bersalah atas pertuduhan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.
Ketua Polis Daerah Limbang, Superintenden Parum Niot, berkata ketiga-tiga tertuduh berumur antara 29 hingga 46 tahun itu membuat pengakuan bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 39C(1)(b) dan Seksyen 15(1)(a) akta berkenaan di hadapan Hakim Cindy Mc Juce Balitus.
Menurutnya, kesemua tertuduh mempunyai dua rekod lampau berkaitan penyalahgunaan dadah di bawah Seksyen 15(1)(a) akta sama.
“Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Celestey Telen Luhat, manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara berkuat kuasa dari tarikh tangkapan.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret Limbang pada hari sama, seramai 21 individu berusia antara 25 hingga 50 tahun dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun, atau kedua-duanya sekali, selain perintah pengawasan polis sehingga dua tahun.
Hukuman dijatuhkan oleh Majistret Cindy Mc Juce Balitus selepas kesemua tertuduh mengaku bersalah atas kesalahan penyalahgunaan dadah, iaitu memasukkan dadah berbahaya ke dalam tubuh badan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Parum berkata polis, khususnya Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Limbang, komited membanteras penyalahgunaan dadah demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.
Beliau turut menggesa orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti dadah kepada pihak polis dengan menghubungi IPD Limbang di talian 085-211466 atau hotline Polis Sarawak di 082-45522, atau balai polis berhampiran.
Oleh Adeng Edrus