
BANGKOK: Bekas perdana menteri Thailand Thaksin Shinawatra akan dibebaskan secara parol pada 11 Mei, menurut Jabatan Koreksional Thailand di bawah Kementerian Kehakiman pada hari ini.
Menurut jabatan itu dalam kenyataan, Thaksin, 76, mesti mematuhi semua syarat sehingga tamat tempoh percubaannya.
Jabatan tersebut memaklumkan jawatankuasa kecil parol telah mengadakan mesyuarat keempatnya pada 2026 untuk mempertimbangkan permohonan penggantungan hukuman dan meluluskan parol biasa untuk Thaksin, tertakluk pada syarat beliau memakai alat pemantauan elektronik (EM) sehingga tamat hukumannya.
“Umurnya dan fakta bahawa beliau mempunyai kurang daripada setahun lagi untuk berkhidmat membenarkan dia dibebaskan awal,” menurut jabatan itu.
Jabatan berkenaan menambah kelulusan tersebut berdasarkan fakta bahawa Thaksin memenuhi semua kelayakan di bawah Akta Pembetulan (2017), Seksyen 52(7), serta Peraturan Menteri mengenai Faedah Banduan Dihukum (2019) dan Pindaannya (No.2 (2021).
Menurut jabatan itu, jawatankuasa kecil parol mengambil kira keadaan kes, tempoh penahanan, kebolehpercayaan penjamin, potensi kesan terhadap keselamatan awam serta pemulihan dan perkembangan tingkah laku banduan semasa dalam tahanan.
“Selain itu, alasan khas yang menyokong keputusan budi bicara termasuk umurnya 70 tahun ke atas, dengan baki tidak lebih satu tahun hukuman, bukti pemulihan yang berjaya dan pembaikan tingkah laku, dan risiko rendah untuk melakukan kesalahan semula berdasarkan penilaian risiko formal,” katanya.
Thaksin antara lebih 800 banduan yang diluluskan untuk parol, menurut jabatan itu.
Beliau telah menjalani hukuman penjara setahun kerana rasuah sejak September tahun lepas.
Thaksin dipilih sebagai perdana menteri pada 2001 dan dipilih semula pada 2005, sebelum menjalani pengasingan yang dikenakan ke atas dirinya sendri selepas penggal kedua dipendekkan oleh rampasan kuasa tentera.- Bernama