Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Potongan RM8,000 tanpa penjelasan, PPS desak agensi pelancongan bertanggungjawab
  • TEMPATAN

Potongan RM8,000 tanpa penjelasan, PPS desak agensi pelancongan bertanggungjawab

Utusan Sarawak 6 hours ago
 PRESIDEN Pertubuhan Pengguna Sarawak (PPS), Dr. Wynson Ong Teck Ping.

KUCHING: Pertubuhan Pengguna Sarawak (PPS) memandang serius dua aduan melibatkan pakej pelancongan yang berdepan ketidakpastian susulan situasi keselamatan global di luar kawalan pengguna.

Salah satu kes melibatkan dua pengadu yang membuat tempahan pakej pelancongan melalui sebuah agensi berpangkalan di Sibu pada 15 Ogos 2025 bagi perjalanan ke Norway dengan tarikh berlepas 31 Mei 2026. Jumlah pakej tersebut ialah RM29,888, dengan bayaran pendahuluan RM19,500 dibuat pada 22 September 2025 selain RM1,000 sebagai wang tempahan.

Bagaimanapun, susulan konflik berterusan yang menjejaskan laluan penerbangan melalui Dubai, perjalanan ke destinasi berkenaan kini berada dalam keadaan tidak menentu. Pengadu dimaklumkan bahawa sebarang kos tambahan di lokasi transit termasuk penginapan dan makanan perlu ditanggung sendiri sekiranya perjalanan terganggu.

Berikutan risiko tersebut, pengadu memutuskan untuk tidak meneruskan perjalanan, malah pihak agensi turut mencadangkan perkara sama memandangkan kos tambahan yang tinggi.

Pada Mac 2026, pengadu secara rasmi memaklumkan hasrat untuk membatalkan perjalanan. Namun, agensi berkenaan menawarkan tiga pilihan iaitu meneruskan laluan asal dengan risiko kos tambahan antara RM20,000 hingga RM30,000, menukar laluan penerbangan tanpa kepastian kos, atau membatalkan perjalanan dengan potongan RM8,000 daripada bayaran pendahuluan.

Pengadu mendapati semua pilihan tersebut tidak munasabah kerana melibatkan risiko tinggi serta kos tambahan yang tidak jelas. Lebih membimbangkan, potongan RM8,000 dikenakan tanpa penjelasan terperinci.

Sehingga kini, agensi terbabit masih gagal memberikan penjelasan telus berhubung potongan tersebut serta tidak menawarkan alternatif yang wajar kepada pengguna.

Sehubungan itu, PPS menegaskan agensi pelancongan perlu bertindak secara telus dan bertanggungjawab, khususnya dalam menjelaskan sebarang potongan bayaran kepada pelanggan.

Menurut PPS, pihaknya telah menggesa agensi terbabit agar lebih telus dalam mengendalikan isu berkaitan bayaran termasuk potongan dan kos tambahan.

Jika isu berkenaan gagal diselesaikan secara baik, kes tersebut akan dibawa ke Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) bagi mendapatkan penyelesaian adil.

Dalam tempoh Mac hingga April 2026, PPS menerima enam aduan melibatkan agensi pelancongan. Daripada jumlah itu, empat kes berjaya diselesaikan melalui campur tangan PPS apabila agensi bersetuju membatalkan perjalanan serta memulangkan deposit kepada pengguna, manakala dua kes melibatkan agensi di Sibu masih dalam pemantauan.

PPS turut menegaskan agensi pelancongan tidak seharusnya melepaskan tanggungjawab sepenuhnya kepada pengguna, terutama dalam situasi kecemasan seperti konflik antarabangsa.

Orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati sebelum membeli pakej pelancongan dengan menyemak terma dan syarat termasuk polisi pembatalan serta bayaran balik.

PPS juga menggesa agensi pelancongan agar sentiasa bersikap telus dalam mengenakan bayaran dan tidak mengambil kesempatan dalam keadaan tidak menentu.

Pihaknya akan terus memantau perkembangan kes tersebut bagi memastikan hak pengguna terus dilindungi.

Continue Reading

Previous: Penggunaan tenaga secara berhemah digalak ketika El Niño
Next: Warga Kristian PDRM Sarawak anjur sembahyang khas sempena Hari Polis ke-219

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.