
WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) akan mengeluarkan siri pasport edisi terhad yang memaparkan imej Presiden Donald Trump dalam dokumen itu sempena ulang tahun ke-250 negara berkenaan, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa), memetik Rumah Putih semalam.
Reka bentuk khas itu akan ditawarkan sebagai pilihan lalai di Washington sementara bekalan masih ada, lapor media AS, memetik Jabatan Negara, dengan reka bentuk standard kekal tersedia dalam talian dan di tempat lain di negara itu.
Semasa penggal kedua beliau, Trump tidak melepaskan peluang untuk menonjolkan nama dan wajah beliau. Inisiatif berkenaan termasuk “Kad Emas Trump” yang menawarkan hak pemastautin sebagai pertukaran untuk bayaran AS$1 juta manakala potret beliau juga muncul pada pas tahunan untuk taman negara AS.
Tandatangan beliau juga akan dipaparkan pada wang kertas dolar AS, julung kali untuk presiden yang sedang berkhidmat.
Beliau juga telah menyelia penamaan semula Pusat John F Kennedy sebagai Pusat Trump Kennedy.
Imej pasport itu berdasarkan potret rasmi Trump untuk penggal keduanya.
Pelan berkenaan telah menerima kritikan dan ejekan di media sosial, dengan beberapa pengguna membandingkannya dengan amalan yang dikaitkan dengan pemimpin autokratik.
Akaun Rumah Putih di media sosial X, bertindak balas dengan menyiarkan imej kad transit Washington yang dikeluarkan sempena perasmian Barack Obama pada 2009, yang turut memaparkan wajah beliau. – Bernama