Mi Kolok adalah sejenis makanan yang menjadi ikon negeri Sarawak dan menjadi makanan kegilaan ramai.
Terdapat banyak gerai makan atau restoren di negeri ini menjual mi kolok samada Mi Kolok Biasa, Mi Kolok Goreng, Mi Kolok Basah, Mi Kolok Sapi dan sebagainya.
Mi Kolok yang asas dihidangkan bersama kuah sup dan kicap pedas.
Ia enak dimakan ketika baharu sahaja dihidangkan kerana masih panas namun akan menjadi kurang sedap apabila sudah sejuk.
Pada masa ini, telah banyak resepi mee kolok yang dimodenkan dan juga disesuaikan dengan keadaan semasa.
Pembuatan mee kolok memang mudah sahaja berbanding dengan beberapa hidangan lain yang berasaskan mee.
Bergantung kepada kegemaran masing-masing maka penyesuaian resepi mi kolok ini berbeza-beza.
Paling tradisional dan asli adalah mi kolok yang mana bahan-bahan untuk membuatnya terdiri daripada satu gulung mi kering (mi sanggul atau jenis yee mee), tiga ulas bawang putih (dimayang), dua sudu besar kicap cair, empat helai daun sawi (potong satu inci), ½ cawan daging atau daging ayam, ½ labu bawang besar (potong halus), bahan perisa seperti garam, gula, lada sulah dan ajinomoto secukup rasa.
Lazimnya, sebagai hiasan akan digunakan daun bawang dan bawang goreng secukupnya.
Walau bagaimanapun, kini ada resepi Mi Kolok Sarawak yang lebih popular dan mudah disediakan.
Resepi ini menggunakan bahan dari mi sanggul (tiga hingga empat gulung), bahan perencah sup (satu sudu besar), daging lembu (100 gram), bawang putih (lima ulas dicincang), cili api (lapan biji), serbuk lada hitam (satu sudu kecil), minyak masak (empat sudu besar), kicap manis (lima sudu kecil), kicap pekat (satu sudu kecil), limau kasturi (dua biji dan ia diambil jusnya), sos ikan atau sos soya (satu sudu kecil), cuka makan (satu sudu kecil), daun bawang atau daun sup (dihiris) dan juga air serta garam secukup rasa.
Cara membuatnya, sediakan sup dengan merebus daging bersama perencah sup, garam dan air secukupnya dan ia perlu direbus sampai tekstur dagingnya empuk.
Kemudian, setelah masak sebaiknya ditoskan daging dan hiriskan nipis-nipis.
Ketepikan kuah sup ini, supnya kelak boleh dipanaskan semula dan tambahkan sedikit air sahaja jika berkurangan.
Cara memasak mi pula, dengan merebuskan mi bersama sedikit garam sehingga lembut selama 40 saat dan kemudian dikeluarkan dan ditoskan.
Seterusnya, perlu panaskan dua sudu besar minyak masak dalam kuali untuk menggoreng bawang putih sehingga garing dan bila garing diangkat dan toskan.
Seterusnya, masukkan mi yang telah ditoskan ke dalam kuali dan goreng sebentar sahaja sehingga masak menggunakan minyak bekas bawang tadi.
Masukkan bahan perasa seperti cuka, sos ikan atau sos soya dan sedikit garam, selepas itu ketepikan.
Kemudian, pada kuali yang sama dipanaskan dua sudu besar minyak masak dan goreng daging yang telah dihiris tadi.
Seterusnya adalah dengan memasukkan kicap pekat dengan sukatan ½ sudu besar kicap manis, serbuk lada hitam dan secubit gram dan dikeluarkan dari kuali.
Cara memasak sambal pula dengan menumbuk atau mengisar cili api dengan satu ulas bawang putih hingga lumat.
Kemudian, gaulkan bersama kicap manis dan perahan jus limau kasturi (kalau tiada kicap manis, boleh guna kicap masin dan tambah sedikit gula).
Cara menghidang mi kolok unik kerana ia ada beberapa peringkat.
Mulanya, sediakan pinggan hidangan dan dimasukkan mi kolok dan dituangkan sambal kicap sedikit dan gaulkan.
Kemudian taburkan daging, bawang putih yang telah digoreng garing dan hiaskan dengan daun bawang.
Sediakan juga bahan iaitu semangkuk sup yang ditabur dengan daun sup sebagai kuahnya jika suka.
Oleh NUR AIN OTSMAN