
TANJUNG MANIS: Kontraktor pelaksana projek Jambatan Batang Paloh di sini memperketat kawalan keselamatan dan pengurusan trafik sungai susulan 35 kejadian pelanggaran infrastruktur jambatan direkodkan sepanjang tempoh pembinaan.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Aidel Lariwoo berkata, langkah itu dilaksanakan bagi mengelakkan kejadian berulang di kawasan perairan berkenaan.
Menurutnya, insiden terbabit melibatkan kapal yang melalui laluan di pertemuan Batang Paloh dan Muara Lassa, yang sebelum ini merupakan antara laluan sungai paling sibuk di kawasan itu.
“Pelbagai langkah pencegahan telah dilaksanakan oleh pihak kontraktor termasuk memperketat kawalan keselamatan serta pengurusan trafik sungai.
“Hasil daripada inisiatif ini, keadaan kini lebih terkawal dan kejadian pelanggaran dapat dikurangkan,” katanya seperti dilaporkan TVS ketika ditemui selepas melakukan tinjauan ke tapak projek pembinaan Jambatan Batang Paloh bersama Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol hari ini.
Aidel berkata, kawasan berkenaan juga telah diwartakan dan tidak lagi dibenarkan sebagai laluan untuk kapal bersaiz besar.
Katanya, sebelum ini insiden pelanggaran menyebabkan kerosakan pada beberapa struktur pembinaan serta sedikit gangguan kepada kemajuan kerja di tapak projek.
“Bagaimanapun, isu ini berjaya ditangani dengan baik dan tidak menjejaskan keseluruhan pelaksanaan projek,” jelasnya.
Jambatan Batang Paloh yang merupakan sebahagian daripada pembangunan jalan pesisir Sarawak dijangka siap pada Oktober 2026, sekali gus bakal meningkatkan sistem perhubungan serta merancakkan pembangunan di kawasan pesisir negeri.