
SIMANGGANG: Rakyat di Sarawak disifatkan sangat bertuah apabila kerajaan negeri menyediakan polisi pendidikan yang inklusif dan progresif, termasuk peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah secara percuma menerusi Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES).
Timbalan Menteri Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis berkata, inisiatif tersebut membuka ruang luas kepada generasi muda untuk meningkatkan taraf pendidikan tanpa dibebani kos pengajian.
Menurut beliau, skim berkenaan membolehkan pelajar melanjutkan pengajian di institusi milik kerajaan negeri seperti Universiti Curtin, Universiti Teknologi Swinburne Sarawak, Universiti Teknologi Sarawak dan Kolej Universiti i-CATS.

“Kita di Sarawak sangat bertuah dengan polisi pendidikan semasa yang memberi peluang kepada pelajar menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi secara percuma, sekali gus memperkasa modal insan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Merarau anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Klassen, dekat sini semalam.
Mengulas lanjut, Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata, peluang pendidikan percuma itu khusus untuk anak Sarawak dan perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh golongan yang layak.
Tambah beliau, sebanyak 64 bidang pengajian telah dikenal pasti sebagai bidang berkepentingan tinggi sejajar dengan keperluan tenaga kerja negeri dalam merealisasikan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Harden dalam ucapannya turut merakamkan penghargaan kepada jawatankuasa penganjur kerana berjaya menjadikan majlis tersebut sebagai platform merapatkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat setempat.
Pada masa sama, beliau menekankan peranan penting ibu bapa dalam memastikan kecemerlangan akademik anak-anak, termasuk memberi perhatian terhadap perkembangan pembelajaran mereka di rumah.
Katanya, keprihatinan ibu bapa mampu meningkatkan motivasi anak-anak untuk belajar dengan lebih tekun kerana mereka merasakan usaha mereka sentiasa dipantau dan dihargai.
“Komitmen ibu bapa hadir ke sekolah semasa hari permuafakatan amat penting kerana pada waktu itu prestasi anak-anak dapat dibincangkan secara langsung dengan guru,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru ibu bapa agar mengubah persepsi lama yang hanya menekankan pendidikan sehingga peringkat menengah, sebaliknya menggalakkan anak-anak melangkah lebih jauh ke peringkat pengajian tinggi selaras dengan perkembangan era digital masa kini.
Majlis tersebut berjaya menghimpunkan sekitar 600 jemputan yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat, sekali gus mengeratkan hubungan sosial dalam komuniti.
Penganjuran program itu juga bertujuan mengutip dana bagi membantu PIBG membiayai pelbagai aktiviti sekolah, termasuk menyokong keseimbangan pencapaian kurikulum dan kokurikulum murid.
Oleh Adi Safarman